Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, January 30, 2018

[PEKAN] JAIP, NGO JALIN KERJASAMA BANTU RUMAH ANAK YATIM


Jaip, NGO jalin kerjasama bantu rumah anak yatim



Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akan bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dalam usaha membantu membangunkan rumah-rumah anak yatim di negeri ini.

Pengarah Jaip, Dato' Muhammad Nor Abd Rani berkata, masyarakat perlu lebih prihatin dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang sangat memerlukan.

“Selain menyediakan sumbangan dalam bentuk kewangan yang sangat diperlukan, Jaip juga akan turun padang membantu mereka terutama dalam hal pendidikan.

“Kita bercadang untuk bekerjasama dengan NGO yang mempunyai hala tujuan sama dalam menjaga kebajikan, pendidikan dan pembangunan ummah.

“Melalui kerjasama ini, kita akan wujudkan sukarelawan bagi membimbing anak-anak yatim dengan mewujudkan kelas bimbingan seperti Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan kelas tambahan bagi mata pelajaran yang lain juga,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas membuat lawatan ke Rumah Anak Yatim dan Miskin Perempuan Darus Salam Almukhtar, di sini, baru-baru ini.

Rumah Anak Yatim dan Miskin Perempuan Darus Salam Almukhtar menempatkan 15 orang penghuni.

Dalam lawatan tersebut, mereka menerima sumbangan kewangan daripada pihak Jaip bagi membantu menampung perbelanjaan yang diperlukan.

Dalam pada itu, menurutnya, pihaknya akan terus melakukan beberapa lawatan lagi ke beberapa rumah anak yatim tanda menyantuni dan prihatin terhadap mereka.

“Kita begitu prihatin dengan kewujudan rumah anak-anak yatim dan dengan itu beberapa lawatan lain atau susulan akan dilakukan dari masa ke semasa untuk mengenal pasti permasalahan dan sebagainya,” katanya.


0 comments:

share2