Tahun 2018 bakal menjadi tahun kejayaan dan keberhasilan yang mengagumkan buat Malaysia jika BN menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, kata Dato' Sri Najib Razak.
“Sudah tentu pada permulaan tahun ini, saya mahu kita semua khususnya penjawat awam sama-sama berniat, berazam dan bertekad bagi memberikan perkhidmatan yang paling terbaik serta berfikir kreatif lagi inovatif di luar kotak kelaziman, bagi menghasilkan perkhidmatan yang benar-benar berkualiti dan cemerlang.
“Sehubungan itu, semua pihak hendaklah bersama memastikan kerajaan BN menang besar dalam PRU14 dan terus berbakti dan kekal melaksanakan pelbagai agenda murni serta inisiatif yang mendatangkan kebaikan dan manfaat, demi kemaslahatan negara keseluruhannya,” kata perdana menteri menerusi laman blognya semalam.
Najib turut menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang bertransformasi menjadi harapan untuk masa depan rakyat dan negara.
Pada masa sama, Pengerusi BN itu mengingatkan rakyat untuk tidak sesekali membiarkan negara ini, kembali semula ke zaman silam atau purba, yang bersifat kuku besi dan autokratik.
“Kita perlu bersama menyebarkan kebaikan, mencapai penyampaian dan usaha murni yang sekian banyak dilakukan kerajaan demi kemaslahatan rakyat, selain, menangkis segala ‘perang persepsi’, propaganda dan tohmahan songsang yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Najib mengesa penjawat awam bekerja lebih keras dan gigih bersama barisan kepemimpinan supaya Malaysia mendapat pengiktirafan model negara berbilang kaum yang paling berjaya di dunia.
Katanya, sudah sampai masanya Malaysia membuktikan kewibawaannya untuk menjadi ‘global player’ yang berjaya dalam segenap dimensi dan sudut.
“Akujanji Kerajaan BN melalui 17 inisiatif dan 156 inisiatif strategik, setakat ini berjaya mencapai 97.6 peratus pelaksanaannya.” kata Ahli Parlimen Pekan itu.
0 comments:
Post a Comment