Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, January 31, 2018

[JERANTUT] NENEK, DATUK RAYU CUCU, CICIT PULANG


Nenek, datuk rayu cucu, cicit pulang



"Pulanglah Sikin, mak sakit," rayu seorang warga emas di Felda Kota Gelanggi 1, di sini yang mengharapkan kepulangan cucu dan cicitnya yang dikatakan menghilangkan diri sejak 16 Januari lalu.

Sejak kehilangan dua insan kesayangannya itu kesihatan, Mahiah Latif, 71, terjejas teruk tambahan pula dia kini menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk darah tinggi, jantung dan sakit lutut.

Cucunya, Nor Asikin Mohd Kamal, 24 dan cicitnya yang juga merupakan anak kepada Nor Asikin, Norhana Balqisha Abdullah, 4, disedari tidak berada di rumah mereka pada awal pagi, 16 Januari lalu.

Suami Mahiah, Daud Busah, 75, berkata, dia menyedari ketiadaan Nor Asikin dan Norhana sebaik terjaga dari tidur untuk membawa Mahiah yang terpaksa menggunakan kerusi roda ke tandas sekitar jam 5 pagi.

"Semasa hendak ke tandas, saya perasan pintu bilik Sikin (Nor Asikin) terbuka. Bila saya selak, saya tengok dia dan Ina (Norhana) tiada. Saya mencarinya di ruang tamu dan saya dapati pintu depan tidak berkunci," katanya.

Sebaik menyedari Nor Asikin dan Norhana tiada, Daud terus membuat panggilan kepada seluruh ahli keluarganya dan rakan Nor Asikin untuk bertanyakan tentang kedudukan kedua beranak itu, namun jawapan yang diterima menghampakan.

"Mereka semua beritahu Sikin dan Ina tiada di rumah mereka dan tidak tahu di mana dia berada. Saya hilang punca bagaimana hendak mencarinya lalu meminta ibu Sikin buat laporan polis pada jam sekitar 8.30 pagi hari yang sama," katanya.

Bercerita lanjut tentang Norasikin, Mahiah berkata, Nor Asikin telah dijaga kedua pasangan itu sejak dari kecil lagi sehingga Nor Asikin membahasakan kedua datuk dan neneknya itu 'mak' dan 'abah'.

"Dari kecil sampailah dia kahwin dan kemudiannya bercerai lebih setahun lalu, kamilah yang menjaganya. Begitu juga dengan cicit saya itu yang saya bela sejak lahir.

"Saya tidak tahu kenapa dia menghilangkan diri. Dia seorang yang sangat mendengar kata dan tidak pernah bercerita apa-apa. Saya juga tidak pernah memarahinya, apatah lagi hendak memukulnya," katanya.

Daud dan Mahiah justeru itu merayu kepada orang ramai yang terjumpa atau mengetahui di mana kedudukan cucu dan cicitnya itu agar menghubungi balai polis berdekatan atau menghubunginya ditalian 019-9976581.


Read more »

[KUANTAN] MANGSA KEBAKARAN TERIMA BANTUAN BENCANA


Mangsa kebakaran terima bantuan bencana



Mangsa kebakaran di rumah pekerja kilang kayu Seng Peng di Gambang pada Disember lalu menerima bantuan bencana berjumlah RM1,000 untuk setiap keluarga.

Dalam kejadian itu, seramai 43 mangsa daripada 13 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Bagi Nor Hashimah Abdul Rahim, 31,berkata, selepas kejadian itu, dia sekeluarga terpaksa menginap di sebuah bilik di kantin kilang berkenaan.

Menurutnya, dia yang mengusahakan kantin itu tiga bulan lalu tinggal sementara di situ bersama suami, Mohd Asri Harun, 46, dan dua anak berusia 12 dan 11.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana banyak pihak memberi bantuan walaupun kami belum mendapat rumah sewa yang lain.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang menghulurkan bantuan bencana ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Bencana oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) oleh Ahli Parlimen Paya Besar, Dato' Sri Abdul Manan Ismail.

Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.

Bagi Juriah Johari, 50, pula, dia dan suami, Mohd Osman ,71, terpaksa berhenti kerja dan pulang ke kampung di Negeri Sembilan selepas kejadian itu.

Sementara itu, Abdul Manan berkata, bantuan bencana yang diberikan itu diharap dapat meringankan beban mangsa kebakaran.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa sudah bekerja lebih 10 tahun di kilang kayu itu hilang tempat tinggal.

"Saya dimaklumkan ada mangsa terpaksa menumpang di rumah saudara selepas kejadian itu.

"Saya akan meneliti bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terlibat," katanya.


Read more »

[BENTONG] TERHALANG CARI REZEKI


Terhalang cari rezeki



Seorang bekas pemandu jentera berat dari Felda Sungai Kemahal di sini hilang sumber pendapatan selepas tidak mampu untuk bekerja apabila kaki kanannya terpaksa dipotong dua tahun lalu.

Keadaan diri Norhadisam Mohamed Isa, 41 akibat kencing manis itu semakin buruk berikutan penyakit kulit misteri dihidapi tahun lalu.

Rakannya, Mohamed Shaipudin Baba, 50, berkata, Norhadisam masih mampu bekerja sebagai pemandu jentera berat meskipun disahkan mengidap kencing manis kira-kira 10 tahun lalu.

“Sejak setahun lepas dia mula dijangkiti penyakit kulit dan tak lagi boleh keluar bekerja. Saya bawa dia ke hospital untuk dapatkan rawatan tapi penyakit yang dihidapi tak dapat dikenal pasti.

“Sekarang dia hanya bergantung kepada ubat tahan sakit dan doktor nasihatkan supaya berehat di rumah saja. Ada yang kata dia terkena buatan orang tapi saya tak kisah dengan semua itu, paling penting penyakitnya sembuh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Shaipudin berkata, Norhadisam kini tinggal bersama ibunya dan hanya bergantung hidup hasil jualan kelapa sawit daripada ladang ibunya.

“Selain sumbangan orang ramai, setakat ini dia hanya terima sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakannya untuk belanja makan dan minum.

“Sumbangan itu tak cukup walaupun ada hasil sawit sebab kadang-kadang sawit langsung tak keluarkan hasil menyebabkan dia berasa kesempitan duit untuk sara diri dan ibunya,” katanya.

Sementara itu, Norhadisam sentiasa berharap supaya penyakitnya segera sembuh supaya dapat mencari pendapatan untuk menyara diri dan ibunya.

“Makan minum memang tidak menentu. Saya hanya mampu bersabar. Kalau boleh saya nak bekerja dan saya pernah bekerja tapi sakit. Apa lagi yang boleh saya buat untuk ibu saya.

“Saya berharap ada pihak yang sudi bantu biayai perubatan saya dan mencari orang yang boleh mengubat penyakit supaya saya boleh pulih sepenuhnya untuk bekerja semula cari rezeki untuk sara ibu,” katanya.

Bantuan kewangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Norhadisam Mohamed Isa, 156244033532


Read more »

[KUANTAN] PERANGI JENAYAH RENTAS SEMPADAN


Perangi jenayah rentas sempadan



Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhasrat meningkatkan lagi keupayaan dalam usaha memerangi jenayah rentas sepadan melalui eksesais bersama dengan lebih banyak agensi luar negara, pada masa akan datang.

Pengarah Pusat Penyelarasan Penguatkuasaan Maritim, Kapten Maritim Zainin Abd Majid berkata, melalui penglibatan bersama seperti Eksesais Bersama Maritim Malaysia dan Japan Coast Guard (JCG) yang dijalankan kelmarin dapat menyatukan prosedur piawaian operasi bersama agensi-agensi tersebut.

“Melalui penglibatan sebegini kita juga dapat mengukuhkan lagi usaha sama dalam operasi mencari dan menyelamat di laut (MSAR).

“Antara senario latihan Eksesais Bersama Maritim Malaysia dan JCG itu termasuk latihan menangani ancaman rompakan di laut, MSAR dan pendaratan pesawat udara di atas kapal.


Dalam senario eksesais berlatar belakangkan satu rompakan di atas sebuah kapal dagang, Pasukan Tindakan Khas (STAR) berjaya menyelesaikan misi menyelamat anak kapal dan memberkas lanun


“Eksesais seperti ini bukan sahaja dapat meningkatkan keupayaan tetapi mengukuhkan hubungan baik antara kedua-dua negara. Selain Jepun kita juga pernah bekerjasama dengan Australia dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata dalam satu sidang media Eksesais Bersama Maritim Malaysia dan JCG di Pelabuhan Kuantan, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Pemerintah Kapal JCG Tsugaru PLH02, Kapten Yuji Yamamoto dan Pegawai Memerintah KM Pekan, Kapten Maritim, Robert Teh Geok Chuan.

Eksesais Bersama Maritim Malaysia dan kapal JCG telah berlangsung selama tujuh hari yang berakhir 30 Januari 2018 diadakan di sekitar perairan Kuantan.

Eksesais Bersama ini merupakan eksesais siri ketiga di antara kedua-dua negara itu.


Kerjasama KM Pekan dan JCG Tsugaru PLH02

Dalam pada itu, menurutnya, keupayaan Maritim Malaysia sekali lagi telah diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui eksesais tersebut.

“Eksesais ini adalah antara latihan sedang dilakukan oleh kapal JCG Tsugaru PLH02 yang belayar dari Pelabuhan Hokadote, Jepun.

“Keistimewaan kali ini ialah menampilkan gandingan kali pertama KM Pekan dan JCG Tsugaru PLH02 yang mana KM Pekan adalah salah satu daripada dua kapal pemberian Jepun kepada Malaysia.

“Seramai 200 pegawai dan anggota Maritim Malaysia terlibat dalam eksesais tersebut termasuk beberapa aset seperti KM Gemia, Bot Kilat 49, sebuah pesawat AW139 dan Pasukan Tindakan Khas (STAR) manakala JCG pula melibatkan 60 pegawai, anggota serta sebuah helikopter Sikorsky 412,” katanya.



Eksesais tersebut turut melibatkan beberapa aset lain seperti KM Gemia, Bot Kilat 49 dan sebuah helikopter AW139.


Sementara itu, Yamamoto turut melahirkan rasa teruja kerana beliau merupakan bekas Pegawai Pemerintah JCG Erimo PL02 iaitu KM Pekan yang dimiliki Malaysia ketika ini.

“Kapal itu telah bertukar jadi cantik dan saya gembira mengetahui bahawa Maritim Malaysia menjaganya dengan baik sekali.

“Saya gembira untuk mengatakan bahawa Erimo boleh dikatakan sebagai simbol hubungan erat antara Jepun dan Malaysia.

“Di samping itu, latihan bersama yang diadakan antara JCG dan Maritim Malaysia ini lebih daripada sekadar latihan,” katanya.


Read more »

SAYA SEDANG TUNGGU 'ILHAM' PILIH TARIKH PRU-14 - NAJIB


Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga dari kanan) dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Tertinggi


Kuala Lumpur - Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terus menjadi teka teki banyak pihak termasuk media apabila Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum membayangkan bila ia akan berlangsung.

Sambil berseloroh, Perdana Menteri berkata, beliau masih menunggu ‘petanda’ yang sesuai untuk membuat keputusan tersebut.

“Saya tidak tahu. Saya sedang menunggu ‘ilham’ untuk memikirkan bila masa yang sesuai (untuk adakan PRU-14),” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti di sini, semalam.


Read more »

22 TAHUN MEMERINTAH, SEKARANG KATA TAK ADIL? NAJIB BIDAS DR MAHATHIR


Najib_pc_umno2018.jpg


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membidas tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Eropah (UE) kononnya bagi memantau pilihan raya di negara ini.

Najib berkata, sistem yang diamalkan badan pengendali pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sistem yang telus, justeru ia tidak memungkinkan penipuan boleh dilakukan.

Malah Najib berkata, sistem yang sama juga telah digunapakai ketika era Dr Mahathir, sehingga pemimpin berkenaan diangkat menerajui negara selama 22 tahun. 

"Kita tak anggap luar biasa..tapi sesuatu yang aneh sebab sistem yang diamalkan SPR hari ini adalah sistem yang sama yang telah mengangkat Dr Mahathir selama 22 tahun.

"Malah sistem kita hari ini telah pun diperkukuh menjadi lebih telus dari dulu.. kita ada polling agent, counting agent, sistem dakwat. Jadi peluang utk menipu boleh dikatakan tak ada langsung. Bagaimana mereka kata pilihan raya ini kononnya tak adil?," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn di sini semalam.

Najib berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pertemuan antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) diketuai Dr Mahathir bersama 16 duta negara (EU) baru-baru ini di ibu negara.

Pertemuan itu bagi menggesa duta EU digesa supaya memberikan tekanan kepada Najib untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) secara bersih dan adil.

Ia berlangsung di kediaman Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez.

"Soalnya kenapa selama 22 tahun dia tak komplen sistem pada masa itu, dan sistem itulah sistem yang sama kita amalkan malah lebih baik dari dulu," tegas Najib lagi.

Dalam sidang media yang sama, Najib turut ditanya sama ada parti serpihan, PPBM mampu menggantikan peranan Umno dalam tampuk pemerintahan negara.

Sambil menyindir, Najib berkata kecelaruan yang berlaku dalam parti itu khususnya kritikan daripada akar umbi terhadap kepimpinan dan parti itu sendiri, sudah cukup menunjukkan sejauh mana kemampuan parti teraju Dr Mahathir itu.

"Kalau ambil dari segi prinsip perlembagaan, kalau kita dah buat perlembagaan sendiri, kita kena patuh perlembagaan kita. Tapi saya diberitahu bahawa peringkat cawangan dan bahagian tak buat mesyuarat, alih-alih peringkat nasional ada perhimpunan dan kita tak tahu dari mana perwakilan datang...bagaimana mereka pilih perwakilan.

"Jadi maknanya pengurusan parti sendiri boleh dipersoal dari segi perlembagaan yang mereka sendiri tentukan dan diluluskan mereka sendiri. Apakah ini petanda kemampuan mereka untuk menjalankan tanggungjawab yang lebih besar?," soalnya.


Read more »

PELABUHAN KUANTAN TUMPUAN PELABUR


Pelabuhan Kuantan tumpuan pelabur



Pelabuhan Kuantan bakal menjadi “Port of Choice” sekali gus sebagai hab logistik kepada negara Asean dan rantau Asia Pasifik dengan pembesaran kawasannya yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Korporat Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) , Alimi Ibrahim berkata, projek bernilai lebih RM4 bilion itu menerima maklum balas positif dan akan menjadi tumpuan utama kepada pelabur dalam dan luar negara.

Menurutnya, pembesaran kawasan pelabuhan itu terbahagi kepada dua fasa yang akan disiapkan secara berperingkat.

Katanya, fasa 1A sepanjang 400 meter dijangka siap pada suku kedua tahun ini manakala fasa 1A sepanjang 600 meter pula dijangka siap pada suku kedua tahun hadapan.

“Manakala bagi fasa 2 pula bergantung kepada permintaan kargo pada masa hadapan dan semua projek yang terlibat di sini mengaplikasikan teknologi mesra alam dalam pembinaannya antaranya pembinaan ‘Dust Suppression Barrier’ dengan ketinggian 13 meter.

"Pertambahan keluasan pelabuhan ini adalah projek perkongsian awam-swasta oleh kerajaan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) membabitkan pembinaan pemecah ombak sepanjang 4.67 kilometer," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, katanya, projek berkenaan turut menaik taraf kemudahan bekalan air bagi menampung peningkatan permintaan air di kawasan pelabuhan yang dijangka siap pada pertengahan tahun ini.

“Bagi penambahbaikkan infrastruktur jalan raya dari Pelabuhan Kuantan ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pula ia dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.

"Pada masa sama, pelabuhan itu juga sudah menerima kelulusan dasar daripada Kementerian Kewangan untuk menubuhkan pelabuhan Zon Bebas, setakat ini kerja-kerja pembangunan sedang giat dilaksanakan dan kita akan beroperasi sebagai pelabuhan zon bebas menjelang hujung tahun ini.

"Status zon bebas ini memberikan kelebihan kepada Pelabuhan Kuantan untuk menembusi pasaran baharu dalam sektor pemindahan (transhipment) berbanding ketika ini hanya membabitkan sektor import dan eksport sahaja," katanya.


Read more »

[JERANTUT] PENDUDUK BANTAH PEMBINAAN RUMAH BURUNG WALIT


Penduduk bantah pembinaan rumah burung walit


Penduduk Kampung Belebar, Kuala Tahan, di sini menandatangani petisyen membantah pembinaan bangunan didakwa projek sarang burung walit berhampiran rumah mereka, semalam.

Kumpulan terdiri 30 penduduk itu turut berkumpul berhampiran tapak pembinaan itu dengan mengadakan bantahan secara aman sambil membawa sepanduk membantah projek itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Wan Temizi Wan Said berkata, beliau menerima surat bantahan dari wakil penduduk kampung 8 Januari lalu.

"Sebaik menerima dan meneliti surat bantahan itu, saya mengambil tindakan menghantar surat kepada pihak terlibat agar tindakan sewajarnya diambil," katanya.

Wan Temizi berkata, empat rumah yang berada di sekitar kawasan pembinaan itu bakal terjejas dengan projek rumah burung walit itu.

"Kita merasakan pembinaan ini sememangnya tidak sesuai kerana berhampiran dengan rumah penduduk.

"Disebabkan itu pada hari ini (semalam) kita datang beramai-ramai berkumpul di sini bagi membantah tindakan itu dan berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya menghentikan projek ini serta-merta," katanya.

Beliau berkata, pihak JKKK langsung tidak dimaklumkan berkaitan pembinaan bangunan itu dan hanya mengetahuinya setelah dimaklumkan oleh penduduk setempat.

"Saya menghubungi pemaju dan dimaklumkan ia projek usahasama dengan tuan tanah. Saya dimaklumkan juga rumah burung walit itu dibuat di tingkat atas sementara tingkat bawah akan dijadikan hotel atau resort," katanya.

Penduduk, Mat Amin Jangi, 63, dan anaknya Jalila Mat Amin, 35, mendapat tahu berkaitan projek berkenaan kira-kira dua minggu lalu dari pekerja yang melakukan kerja-kerja pembersihan tapak di kawasan yang letaknya sekitar 18 meter dari rumah mereka.

Menurut Mat Amin, dia tidak bersetuju sekiranya pembinaan itu bertujuan untuk membuat rumah burung walit kerana bimbang ia akan menjejaskan kesihatan ahli keluarganya yang berada terlalu hampir dengan bangunan yang bakal dibina itu.

"Bukan sahaja bimbang ia akan mendatangkan masalah kesihatan, kami juga bimbang sekiranya rumah burung walit itu akan mendatangkan bunyi bising dan menganggu ketenteraman kami," katanya.

Tambahnya, dia langsung tidak membantah sekiranya tapak itu dijadikan hotel besar sekali pun, namun membantah sekeras-kerasnya jika ia dijadikan rumah burung walit.

Difahamkan bangunan untuk rumah burung walit itu berada hanya sekitar satu kilometer sahaja dari jarak Jeti Kuala Tahan menuju ke Taman Negara.


Read more »

Tuesday, January 30, 2018

[LIPIS] PUSAT RAWATAN KECANTIKAN DI RUMAH


Pusat rawatan kecantikan di rumah


Minat yang mendalam terhadap bidang kecantikan mendorong seorang suri rumah, Nor Fariha Ali, 32, untuk membuka perniagaan spa di rumah yang terletak di berek polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis.

Lebih menarik lagi sabun muka dan masker yang terdapat di spa milik Nor Fariha diperbuat daripada bahan semula jadi termasuk madu kelulut serta ‘bee pollen’ yang dihasilkan sendiri oleh ahli keluarganya di Terengganu.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, perniagaan spa tersebut mula beroperasi 8 Januari lalu yang menyediakan rawatan wajah, sauna, lulur badan dan scrub.

“Idea membuka spa di rumah ini timbul apabila ada permintaan daripada rakan dan jiran yang mengetahui minat saya terhadap bidang kecantikan selain mereka turut meminta saya membuat rawatan wajah kepada mereka.

“Berkat sokongan suami yang juga seorang anggota polis, saya nekad untuk memulakan perniagaan spa di rumah. Bisnes ini juga lebih mudah kerana dalam masa yang sama saya dapat menguruskan anak-anak dan kerja rumah, selain mampu menyusun masa sendiri,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, ekoran sambutan menggalakkan yang diterima, dia turut meminta bantuan adiknya, Nor Suhaila, 21, memberi perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.

“Saya dan adik sertai kursus Solekan Artistik dan Spa di bawah Program Empower, Majlis Pmbangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) selama lapan bulan, tahun lepas.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Empower Ecer kerana membuka peluang kepada golongan suri rumah seperti saya untuk menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Nor Fariha berkata, dia berhasrat untuk membuka sebuah spa yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti rawatan sauna, tangas, mandi susu, rawatan rambut dan rawatan muka.

“Selain itu, terdapat juga cadangan untuk perkhidmatan spa bergerak (mobile spa) namun saya perlu melengkapkan peralatan rawatan terlebih dahulu,” katanya.


Read more »

[BERA] SIAP 20 HARI LEBIH AWAL


Siap 20 hari lebih awal



Rakyat Bera khususnya warga Felda Gugusan Bera kini boleh menarik nafas lega apabila jalan FT1510 sepanjang tujuh kilometer yang dinaik taraf siap sepenuhnya.

Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah, Ahmad Fathulah Ahmad Halimi berkata, kerja-kerja naik taraf bagi Fasa 2 itu menelan belanja sebanyak RM19 juta dengan beberapa skop kerja yang dilaksanakan.

“Antaranya seperti melebarkan jalan dan menaik taraf empat persimpangan utama; pembinaan sistem saliran longkang tanah dan konkrit serta pembetung dan menurap semula permukaan jalan serta membaiki cerun.

“Ini juga termasuk kerja-kerja pengalihan utiliti paip air dan kabel elektrik di bawah tanah,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Majlis Serahan Projek Naik taraf Jalan FT1510 Kawasan Parlimen Bera (Fasa 2) dilaksanakan antara pihak kontraktor kepada pihak Kementerian Kerja Raya yang disaksikan Ahli Parlimen Bera, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Penswastaan, Zurifah Zuhairon; Pengarah JKR Pahang, Dato' Ir Abdul Jalil Mohamed dan Adun Guai, Dato' Sri Norol Azali Sulaiman.

Projek Fasa 2 ini yang bermula pada Januari 2016 berjaya disiapkan 20 hari lebih awal dari tarikh yang ditetapkan pada Disember 2017.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, usaha kerajaan untuk terus memberikan kemudahan kepada rakyat tidak pernah berhenti, malah ia diberikan secara berterusan terutamanya di kawasan luar bandar.

Katanya, masyarakat luar bandar juga berhak menikmati kemudahan sebagaimana yang dinikmati masyarakat di bandar, dan ini amat signifikan dengan visi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk Membandarkan Luar Bandar.

“Ini jalan utama warga Felda di sini, dan sememangnya laluan ini harus dinaiktarafkan agar perjalanan mereka lebih selesa terutamanya pada waktu malam.

“Difahamkan, bukan saja jalan semakin lebar malah terdapat lampu jalan terutamanya di setiap empat persimpangan utama laluan ini.

“Jadi, saya percaya, pengguna lebih selamat melalui jalan ini yang diterangi lampu dan sekali gus dapat mengelak kehadiran ternakan yang dibiarkan bebas oleh pengusaha,” katanya.


Read more »

[PEKAN] JAIP, NGO JALIN KERJASAMA BANTU RUMAH ANAK YATIM


Jaip, NGO jalin kerjasama bantu rumah anak yatim



Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akan bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dalam usaha membantu membangunkan rumah-rumah anak yatim di negeri ini.

Pengarah Jaip, Dato' Muhammad Nor Abd Rani berkata, masyarakat perlu lebih prihatin dalam menghulurkan bantuan kepada golongan yang sangat memerlukan.

“Selain menyediakan sumbangan dalam bentuk kewangan yang sangat diperlukan, Jaip juga akan turun padang membantu mereka terutama dalam hal pendidikan.

“Kita bercadang untuk bekerjasama dengan NGO yang mempunyai hala tujuan sama dalam menjaga kebajikan, pendidikan dan pembangunan ummah.

“Melalui kerjasama ini, kita akan wujudkan sukarelawan bagi membimbing anak-anak yatim dengan mewujudkan kelas bimbingan seperti Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan kelas tambahan bagi mata pelajaran yang lain juga,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas membuat lawatan ke Rumah Anak Yatim dan Miskin Perempuan Darus Salam Almukhtar, di sini, baru-baru ini.

Rumah Anak Yatim dan Miskin Perempuan Darus Salam Almukhtar menempatkan 15 orang penghuni.

Dalam lawatan tersebut, mereka menerima sumbangan kewangan daripada pihak Jaip bagi membantu menampung perbelanjaan yang diperlukan.

Dalam pada itu, menurutnya, pihaknya akan terus melakukan beberapa lawatan lagi ke beberapa rumah anak yatim tanda menyantuni dan prihatin terhadap mereka.

“Kita begitu prihatin dengan kewujudan rumah anak-anak yatim dan dengan itu beberapa lawatan lain atau susulan akan dilakukan dari masa ke semasa untuk mengenal pasti permasalahan dan sebagainya,” katanya.


Read more »

GANGGUAN BEKALAN AIR DI KUANTAN PULIH RABU INI


Gangguan bekalan air di kuantan pulih Rabu ini



Proses membaik pulih ban tanah saliran Lama di Sungai Kobat disini yang runtuh sebelum ini sehingga menyebabkan gangguan bekalan dijangka dapat disiapkan Rabu ini.

Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Dato' Sri Mohd Soffi Abdul Razak berkata, proses penambakkan ban yang runtuh itu kini sudah 20 peratus siap.

Selepas siap proses baik pulih, masalah gangguan bekalan air berkenaan dijangka pulih sepenuhnya.

“Kita akan tambak sehingga paras 2.5 meter bagi membolehkan air di Muka Sauk Kobat akan kembali normal dan dapat menyalurkan mentah ke loji air Semambu dan Bukit ubi.

“Sehingga ini, proses menambak dilaksanakan 24 jam sehari. Hari ini sahaja lebih 100 lori sudah digunakan bagi menghantar batu," katanya ketika ditemui selepas melawat kerja ke kawasan tambakan di Bukit Rangin sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Dato' Mohd Zahari Md Isa.

Kejadian tambakan pecah itu berlaku pada 19 Januari lalu sehingga mengakibatkan kira-kira 400,000 penduduk terjejas.


Read more »

[BENTONG] KAF MEMPERLUAS PROGRAM KOMUNITI, SEDIAKAN POLIS DI FELDA


KAF memperluas program komuniti, sediakan polis di Felda


Kami Anak Felda (KAF) akan memperluas program komuniti Felda bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di 11 wilayah di negara pada tahun ini bagi memberi kesedaran berhubung pencegahan jenayah kepada masyarakat

Pengerusi Biro Ekonomi Kami Anak Felda (KAF), Datuk Amizar Abu Adam berkata, program tersebut membolehkan pihak polis dan masyarakat sentiasa menjalin kerjasama memerangi jenayah khususnya dadah secara holistik dan agresif.

Menurutnya, program itu akan diteruskan di kesemua wilayah Felda pada tahun ini untuk membantu mewujudkan rakan kongsi yang lebih efektif dengan masyarakat untuk mengenal pasti dan memerangi jenayah.

“Polis dan komuniti Felda mempunyai satu jaringan yg cukup baik kerana tanggapan masyarakat kepada polis ada pelbagai segemen namun bagi kita warga komuniti Felda kita nak mempositifkan pandangan komuniti Felda kepada polis yang sentiasa membantu kita di kala susah dan senang.

“Program yang dianjurkan pada hari ini merupakan lonjakan pertama dan kita lancarkan program ini di 11 wilayah Felda kerana komuniti Felda dan polis sangat memerlukan yang memberi impak positif kepada masyarakat felda terutamanya generasi baharu,” katanya pada sidang media selepas Program Komuniti PDRM bersama Komuniti Felda di Dewan Seberguna Felda Sungai Kemahal, Bentong di sini, semalam.

Program yang dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga dan Kami Anak Felda dengan kerjasama PDRM Daerah Bentong turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Polis daerah Bentong, Deputi Superintenden Zainudin Abdul Hamid dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Felda Sungai Kemahal, Mohamed Shaipudin Baba.

Amizar berkata, walaupun indeks jenayah dadah di Felda semakin menurun berbanding 10 tahun lepas, namun komuniti Felda dan pihak polis sentiasa melakukan pemantauan agar jenayah dadah dapat dibebaskan di negara ini.

“Walaupun perununan nampak ketara ada penuruman mengenai gejala dadah, kerja tetap tidak boleh berhenti... Komuniti Felda akan sentiasa dengan warga pdrm tidak pernah berhenti sebab felda merupakan salah satu kawasan panas jenayah dadah….

“Sebab di Felda terdapat banyak ladang ladang yang jauh dari pandangan orang, Jadi, ramai orang bukan tahu apa mereka buat di ladang tetapi walau bagaimapun hasil didikan daripada pihak polis nampak keberkesanannya kerana statistik dadah semakin menurun di Felda,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya mempunyai pelbagai perancangan yang akan dilaksanakan bersama masyarakat melalui program komuniti Felda bersama dengan PDRM.

“Program komuniti Felda bersama polis kita memberi tumpuan terhadap jenayah dadah seperti memberi ceramah tentang bahayanya dadah serta kita adakan acara sukan untuk golongan belia bagi mengeratkan hubungan mereka dengan pihak polis.

“ini juga adalah platform untuk merapatkan hubungan di antara polis dengan masyarakat setempat dari segenap lapisan umur dan apa yang kita harapkan agar melalui program ini serta perancangan yang diatur tema komuniti Felda dan polis bersama cegah jenayah akan dapat direalisasikan,” katanya.


Read more »

[TIOMAN] TDA, TNB BANTU BAIKI MASALAH PAM AIR ROSAK


TDA, TNB bantu baiki masalah pam air rosak



Ekoran masalah pam air yang rosak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tekek, di sini, ia sekali gus memberi kesan kepada bekalan air dari tangki utama ke bangunan sekolah, asrama dan kuarters guru.

Difahamkan, kerosakan itu telah berlaku kira-kira setahun lalu dan menjadi semakin kritikal pada Oktober sehingga berlarutan sepanjang musim tengkujuh yang melanda pulau peranginan itu, baru-baru ini.

Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA), Khairur Rizal Ramli berkata, masalah itu telah dibangkitkan pihak sekolah ketika lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bersama Adun Tioman, Dato' Sri Mohd Johari Hussain ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir di sekolah itu.

Menurutnya, ia menyukarkan mangsa-mangsa banjir yang berpindah selain turut menjejaskan persekolahan murid-murid dan guru-guru di sekolah berkenaan.

Katanya, bagi mengenalpasti punca masalah, TDA dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tioman mengambil langkah proaktif pada 15 Januari lalu ke lokasi untuk menyiasat dan mengenalpasti punca.

"Siasatan itu mendapati ia berpunca daripada kerosakan komponen yang mengalirkan arus elektrik untuk menghidupkan pam air berkenaan secara manual atau automatik.

"Tindakan jangka pendek bagi mengatasi masalah ini adalah dengan menggantikan komponen yang rosak dan pihak TDA berbesar hati untuk menyumbangkannya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, bagi penyelesaian jangka panjang, beliau turut menyarankan pihak sekolah agar membuat pemeriksaan ke atas alat kawalan pam yang dibekalkan oleh pembekal bertauliah (vendor).

Khairur Rizal berkata, ia disebabkan alat kawalan berkenaan hanya boleh ditetapkan (setting) menggunakan perisian khas yang dibekalkan vendor.

"Sementara dalam tempoh percubaan sepanjang minggu ini, sekiranya ada perkembangan terbaru ke atas pam dan bekalan air berkenaan, pihak sekolah diminta menghubungi pihak TNB Tioman untuk tindakan lanjut atas kerjasama serta bantuan yang boleh diusahakan secara bersama dengan pihak TDA," katanya.

 

Read more »

Monday, January 29, 2018

[TEMERLOH] TUN M PUNCA SEKTOR PERTANIAN GAGAL?


Tun M punca sektor pertanian gagal?



Kegagalan Tun Dr Mahathir Mohamad memodenkan sektor pertanian negara ketika zaman pemerintahannya menjadi punca petani di negara ini agak ketinggalan sehingga terpaksa dimulakan semula kepimpinan yang ada ketika ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, modenisasi sektor pertanian sangat penting kerana ia berkait rapat dengan sumber makanan dalam negara seperti yang dibuktikan negara jiran, Thailand yang lebih ke hadapan dalam sektor pertanian.

Menurutnya, walaupun negara ini mempunyai tanah yang subur tetapi ketika zaman pemerintahan Tun Mahathir, beliau lebih mementingkan sektor industri yang akhirnya menyebabkan sektor pertanian negara ketinggalan.

“Sebagai contoh beras yang ditanam dalam negara hanya mampu menampung sekitar 70 peratus bekalan negara, ia belum dikira import makanan lain seperti sayur dan buah-buahan yang terpaksa dibawa masuk dari luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jom Makan Jagung anjuran Pejabat Pertanian Temerloh di Kampung Chatin di sini kelmarin.

Turut hadir Pegawai Pertanian Temerloh, Muhamad Khalil Idris; Penolong Pegawai Pertanian Temerloh, Shaharudin Ramli danPengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chatin Abd Rahsid Hassan.

Beliau berkata, ketika ini Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak berusaha memulihkan semula sektor pertanian negara dan ini dibuktikan menerusi bajet 2018 yang banyak diberikan kepada kementerian pertanian dan industri asas tani.

Pada program yang berlangsung di Balai Raya Kampung Chatin itu, turut diadakan kursus tanaman jagung dan kursus teknologi fertigasi yang disampaikan penceramah dari pejabat pertanian.

Katanya, turut diadakan majlis penyampaian geran In Kind Contribution (IKC) berjumlah RM20,000 kepada empat peserta tanaman pelbagai.


Read more »

[BENTONG] KIKIS STIGMA NEGATIF DERMA DARAH


Kikis stigma negatif derma darah



Jawatankuasa Rayuan Derma Darah /HIV Aids dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Negeri Pahang telah menganjurkan Program Sehari Bersama Masyarakat kelmarin, bagi mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di daerah ini. 

Pengerusinya, K Kharthigeyan berkata, program tahunan itu juga bertujuan menggalakkan orang ramai menderma darah bagi membantu golongan memerlukan.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat menangkis stigma-stigma yang sering dikaitkan dengan pendermaan darah.

“Antaranya termasuk menderma darah boleh memudaratkan kesihatan penderma, menyebabkan kesakitan atau bertentangan dengan agama. Apa pun, kami harap dengan program ni, kami dapat capai lebih daripada sekadar peningkatan bilangan penderma,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, kelmarin.

Menurutnya, selain derma darah, orang ramai juga boleh ikuti pelbagai aktiviti lain antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, ujian indeks jisim badan (BMI), ceramah kesihatan dan motivasi pelajar tentang kesedaran kesihatan di samping aktiviti di reruai pameran.

“Melalui aktiviti yang telah dijalankan, diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan," katanya.


Read more »

[PEKAN] MESTI RUJUK KLINIK KERAJAAN


Mesti rujuk klinik kerajaan


Kementerian Kesihatan sedang dalam proses perundangan terhadap sebuah klinik swasta di Kuching, Sarawak selepas ia gagal merujuk kes seorang lelaki digigit anjing ke hospital atau klinik kerajaan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, ia merujuk kes baharu membabitkan rabies manusia yang dikesan pada 26 Januari lalu melibatkan seorang lelaki berusia 59 tahun dari Jalan Batu Kawa-Matang yang digigit anjing, 27 November tahun lalu.

Menurutnya, pengamal perubatan di klinik dan hospital swasta diminta mematuhi Garis Panduan Pengendalian Kes Gigitan Anjing dan Haiwan Lain termasuk merujuk mangsa ke fasiliti kesihatan kerajaan.

“Wajib laporkan kepada klinik atau hospital kerajaan jika menerima kes sebegini. Jika tak laporkan ia adalah kesalahan undang-undang.

“Orang ramai juga perlu membuat tindakan sama untuk dapatkan rawatan dan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena program Tautan Kasih dan Jururawat Masuk Kampung bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Runchang, Pekan di sini.

Turut hadir Adun Bebar, Dato' Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Seramai 300 pelatih jururawat terlibat dalam program bersama komuniti memberikan penerangan dan pendidikan kesihatan di perkampungan tersebut.

Sementara itu, Hilmi turut menyentuh berkenaan lambakan jualan ubat di atas talian yang didakwa dapat mengubati pelbagai penyakit kritikal.

“Penjual sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap pengguna dan relevan mengenai keupayaan produk mereka membantu pesakit-pesakit kronik.

“Jangan menipu pengguna semata-mata demi keuntungan,” katanya.

Katanya, semua penjual ubat secara atas talian perlu peka mengenai keperluan menjalani proses melibatkan pengesahan dan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ia diiklankan.

“Pengguna pula boleh periksa status sesuatu produk di laman sesawang Lembaga Iklan Ubat bagi mengetahui status kelulusan sesuatu ubat yang hendak dibeli,” katanya.


Read more »

MUKHRIZ HANYA MALUKAN DIRI JIKA MASUK BALING


Mukhriz hanya malukan diri jika masuk Baling


Baling: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling hari ini menegaskan tiada ruang dan peluang kepada mana-mana parti yang mengamalkan politik bermusim untuk bertapak di Parlimen Baling.

Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Mohd Noor Mohd Amin berkata peringatan itu khusus buat Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sekiranya beliau bercita-cita mahu merampas kerusi Parlimen Baling.

Mengulas kehadiran Mukhriz yang melakukan program walkabout di Baling pada Jumaat namun didakwa tidak mendapat sambutan, beliau berkata PPBM tidak diterima penduduk Parlimen itu dan ia dapat dilihat apabila program anak bekas perdana menteri itu semalam lebih kerusi daripada orang yang datang.

Mohd Noor berkata ini berbeza dengan kepimpinan sedia ada di bawah Ketua UMNO Bahagian yang juga Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, yang mengamalkan politik tanpa bermusim.

"Masa dia (Mukhriz) jadi menteri besar pun, dia tak pernah datang sini. Jadi kenapa sekarang baru nak munculkan diri? Jika dia ingat setakat buat walkabout di Baling mampu meraih undi, saya harap dia fikir 10 kali dahulu. Jangan sampai malukan diri sendiri, " katanya.


Read more »

MICHELLE YEOH PUJI USAHA NAJIB PERJUANG ISU ROHINGYA


Image result for michelle yeoh rohingya


COX´S BAZAR (Bangladesh), -- Seniwati Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, yang juga Duta Muhibbah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP), memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia kerana berusaha membantu pelarian Rohingya, termasuk memperjuangkan nasib mereka.

Beliau berkata Najib dan Malaysia melaksanakan usaha mengagumkan berhubung perkara itu dan sebagai negara berjiran, Malaysia amat perlu membantu masyarakat Rohingya yang mengalami penderitaan dan penindasan di Myanmar.

"Kami amat bangga dengan hakikat bahawa beliau adalah orang yang mula-mula sekali memperjuangkan perkara itu sebagai jiran yang baik dan melakukan perkara yang tepat sebagai manusia. PM kita mempamerkan ciri kepimpinan yang sungguh hebat bersama-sama kerajaan Bangladesh serta rakan kita di (Arab) Saudi dan UAE (Emiriyah Arab Bersatu)," kata Yeoh kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke kawasan pelarian Rohingya di sini pada Sabtu.

Yeoh adalah antara anggota delegasi khas Malaysia ke Cox´s Bazar yang diketuai Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor. Rombongan itu melawat Hospital Medan Malaysia yang memulakan operasinya pada 31 Nov lepas dan kem pelarian Balukhali, yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari hospital itu.

Yeoh berkata pemergian delegasi itu adalah mewakili Najib dan akan mengemukakan laporannya kepada beliau sebaik sahaja mereka pulang ke tanah air.


Read more »

KERAJAAN PUSAT KAJI GUBAL UNDANG-UNDANG PENYEBARAN BERITA PALSU






Dato' Sri Najib Razak berkata, kerajaan akan mengkaji untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu di media sosial berikutan kesannya yang membimbangkan.

Perdana Menteri berkata, tindakan tidak bermoral itu boleh mengancam kestabilan politik dan ketenteraman awam.

Katanya, rakyat boleh terpesong seperti membenci kerajaan dan merusuh hanya kerana terpedaya dengan berita palsu.

“Bukan kita mahu kawal internet. Internet masih bebas tetapi mesti ada unsur tanggungjawab.

“Malah, Barisan Nasional (BN) menjadi mangsa setiap kali pilihan raya dengan pelbagai penyebaran berita palsu.

“Sebelum ini, kita difitnah dengan berita membawa masuk 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali,” katanya pada sidang media di Kelantan semalam.

Terdahulu, Najib meluangkan masa kira-kira dua jam bersama kakitangan awam di Wisma Persekutuan, semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengulas keputusan Perdana Menteri Britain, Theresa May yang mahu menubuhkan sebuah unit baharu bagi meningkatkan usaha menangani penyebaran berita palsu dan menghalang kempen penyaluran maklumat tidak betul oleh negara lain.

Sebelum ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mahu memperkenalkan satu undang-undang baharu yang mengharamkan berita palsu di internet ketika kempen pilihan raya negara itu berlangsung.

Najib ketika berucap di hadapan lebih 10,000 penjawat awam berkata, Malaysia mendapat penghormatan di negara luar kerana mempunyai prinsip tersendiri dan tidak pernah berpura-pura dalam menjalankan tugas.

Katanya, ada perkara kita sokong dan sekiranya sesuatu perkara bercanggah, Malaysia akan menentang seperti yang dilakukan apabila Amerika Syarikat (AS) mahu membuka pejabat kedutaan di Jerusalem.

“Ketika saya melakukan umrah bulan lalu, saya mendapat layanan istimewa daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, apabila saya diberi masuk ke makam Rasulullah dan baginda membuka pintu Kaabah untuk saya dan rombongan.

“Sekiranya Malaysia tidak dipandang tinggi, masakan saya diberi layanan istimewa,” katanya.


Read more »

Sunday, January 28, 2018

DISEBABKAN 'BINTANG HARAPAN CEDERA' PH AKUI TERPAKSA PILIH DR.MAHATHIR






Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengakui pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang adalah disebabkan ‘bintang harapan mereka cedera’.

Katanya, sekalipun pemilihan Dr Mahathir mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan sebilangan besar penyokong, barisan kepimpinan cuba membuat keputusan terbaik dalam situasi yang tidak ideal.

“Kita ibarat pasukan bola sepak yang berlatih bertahun-tahun namun apabila hendak masuk permainan, bintang harapan kita cedera atau kita terpaksa bermain dalam keadaan padang tidak elok atau cuaca hujan lebat.

“Ramai yang mahu (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) termasuk saya. Kalau boleh lakukan silap mata Anwar bebas esok dan terus mendapat pengampunan diraja lalu boleh bertanding pilihan raya, sudah tentu kita akan mencalonkan dia,” katanya di hadapan kira-kira 300 orang yang hadir ceramah umum pembangkang di Kuantan malam tadi.

Ceramah itu yang turut dihadiri beberapa pemimpin pembangkang antaranya Teresa Kok dan Fuziah Salleh jelas gagal menarik minat penduduk Kuantan untuk memenuhi kerusi yang disediakan di depan pentas dengan rata-rata yang datang pula memilih untuk ‘mendengar dari jauh’.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pemilihan Dr Mahathir juga dibuat bersandarkan kajian yang mendapati tiga tokoh Melayu yang mendapat perhatian anak muda ialah Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Dr Mahathir dan Anwar.

Ini sekali gus menjadikan gabungan Mahathir-Anwar sebagai gabungan ideal pakatan, katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum pakatan itu dijangka dibebaskan daripada penjara pada 8 Jun depan namun peruntukan undang-undang menghalang beliau daripada bertanding pada pilihan raya selama lima tahun selepas dibebaskan.


Read more »

BN IKUT PRINSIP ISLAM, ADIL PADA SEMUA - PM




Kota Bharu: Dato' Sri Najib Razak berkata Kerajaan Persekutuan mengikut prinsip Islam dengan mentadbir secara adil dan tidak membezakan rakyat walaupun berlainan parti politik.

Perdana Menteri memberi contoh yang beliau sentiasa mengutamakan rakyat Kelantan termasuk yang terbaharu melaksanakan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan.

Katanya, projek berkenaan melenyapkan 'mimpi ngeri' rakyat negeri ini yang sering dilanda banjir termasuk yang besar pada tahun 2014.

"Saya kata pembangunan kita mesti bersifat inklusif iaitu menyentuh setiap pelusuk rantau dari sempadan Siam (Thailand) sehingga Filipina, kita mesti buat pembangunan untuk semua rakyat dan saya tidak mahu ada yang ketinggalan.

"Ini berdasarkan prinsip agama Islam yang mahu kita menjadi pemimpin yang adil kepada semua.

"Sebab itulah saya berbeza dengan pemimpin terdahulu yang memerintah selama 22 tahun tapi meminggirkan Kelantan atas perbezaan politik." katanya dalam ucapannya di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustafa Mohamed.

Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan yang bernilai RM572 juta bagi fasa 1, dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir yang melanda penduduk di lembangan Sungai Kelantan.

Projek itu akan bermula esok dan dijangka siap pada 28 Mei 2021.

Najib berkata, kerajaan mentadbir negara dengan baik serta melaksanakan dasar transformasi nasional bukan secara awangan tapi diterjemah dengan penuh tanggungjawab.

"Kita dapat melakukan pembangunan kerana kewangan negara kukuh, kalau kewangan lemah tidak mungkin kita akan melakukan pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada Julai ini.

'Ini belum lagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan siap dalam masa enam tahun lagi. Kelantan akan jadi maju kerana perjuangan, dasar dan iltizam kerajaan serta berlaku adil pada semua," katanya.


Read more »

TOK HIM: TIDAK SOKONG MAHATHIR KERANA ENGGAN GADAI MARUAH






Meskipun tidak lagi bersama UMNO namun Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali merasakan yang parti itu adalah yang terbaik serta mampu menyakinkan dirinya dalam memperjuangkan agama dan bangsa Melayu.

“Kalau tiada parti yang boleh saya yakin better than UMNO, so the best is UMNO,” katanya riingkas dalam program Perjuangan 4All yang disertai Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, malam Sabtu.

Beliau yang dikenali Tok Him berkata PPBM sehingga hari ini bukan parti yang terbaik untuk mempertahankan bangsa meskipun telah diputuskan yang parti itu akan bertanding di 52 kerusi parlimen di semenjung iaitu lebih banyak daripada DAP yang hanya 35 kerusi sahaja.

“Kena ingat, DAP bertanding di kawasan yang mereka dah tentu menang, PPBM bertanding di kawasan UMNO yang belum tentu mereka boleh menang, kalau undi pun sebab ada yang sayangkan Tun Mahathir,” jelasnya lagi.

Mengulas tindakan PPBM yang menyertai gabungan PH yang dibarisi DAP di dalamnya, menyebabkan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu membantutkan niatnya untuk bersama dengan Dr Mahathir dalam perjuangan kerana tidak mahu menggadaikan maruah bangsa kepada parti serpihan PAP itu.

“Saya kasihkan Dr Mahathir ini, tuhan sahaja yang tahu, tapi ini soal pegangan prinsip saya, kalau sebab projek ini boleh buka tutup bayar hutang Dan sebagainya, tapi kalau rombak polisi, asas perlembagaan kita, semua akan berubah.




“Kalau pada awal PPBM tak bergabung dengan DAP, saya antara orang yang terawal akan menyertainya, tapi DAP ini lain, dia mendokong falsafah Malaysian Malaysia, itu bahaya, itu yang saya tak boleh terima sangat sampai sekarang,” jelasnya lagi.

Ibrahim turut menjelaskan yang beliau sedar akan sokongan Dr Mahathir terhadap penubuhan PERKASA, namun beliau tidak akan sesekali mengubah pegangannya hanya kerana sokongan yang diberi bekas pemimpin veteran tersebut.

“Saya amat rapat dengan Dr Mahathir dan saya tetap hormat dia sebagai seorang pemimpin yang banyak jasa dengan negara, sama saya hormat dengan Anwar, sama saya ikut dengan Ku Li dulu, tapi saya takkan gadai maruah bangsa saya,” tegasnya


Read more »

AININA AKAN TERUS DEDAH KERAKUSAN MAHATHIR





Bekas pengasas PPBM, Ainina Saadudin mendedahkan bahawa jawapan kepada dua soalan yang diajukan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan beliau meninggalkan parti serpihan UMNO itu.

Pernah mempercayai bulat-bulat amanat Dr Mahathir selama ini, jelas Ainina lagi kerakusan politik pemimpin veteran itu menjadi doktrin pemikiran beliau iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak perlu melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri untuk melihat perkara yang lebih baik untuk negara.

“Ketika itu saya tanya kenapa kita perlu ada parti baru untuk orang Melayu, Tun Mahathir kata sebab kita tak ada platform untuk bercakap, jadi perjuangan harus bermula untuk menjatuhkan UMNO terlebih dahulu. UMNO telah rosak dari akar umbi ke pucuk, jadi perlu ada parti baru untuk gantikan UMNO.

“Saya tanya lagi, kenapa perlu kita bekerjasama dengan DAP? Jawapan Tun, kita perlu bekerjasama kerana undi Cina penting. Selama ini saya benci DAP, DAP musuh orang Melayu, itu yang Tun Mahathir ajar kepada saya tapi hari ini Tun Mahathir kata tak apa, bila PPBM masuk dalam PH, maka kita akan jadi dominan seperti UMNO dalam BN,” katanya.

Jelas Ainina,Tun Mahathir didakwa sangat yakin dengan beranggapan bahawa DAP, PKR dan PAN akan tunduk kepada PPBM supaya orang Melayu akan terus berkuasa.

Maka sebab itu Aina bersetuju untuk menjadi salah seorang pengasas PPBM ketika itu.

Bagaimanapun persoalan terus timbul mengapa jumlah keahlian PPBM tidak ramai sehinggakan hanya 100,000 ahli sahaja yang menyertai parti itu.

“Saya terus mengkaji dan saya fikir macam mana PH nak bagi kerusi dan tempat untuk PPBM sedangkan jumlah keahlian pun tak ramai?




“Dan saya mula terfikir, bila Tan Sri Muhyiddin jadi Presiden, Mukhriz meletakkan orang-orangnya di bahagian dan cawangan. Dia letak semua orang-orang dia, apa sebenarnya yang Mukhriz nak buat?” soalnya lagi.

Oleh sebab itu beliau sudah merasakan yang PPBM sudah tersasar jauh dan Ainina membuat keputusan meninggalkan parti tersebut selepas beliau dipecat daripada jawatan srikandi PPBM melalui ‘whatsapp group’ sahaja.

Pada masa sama, Ainina berharap agar semua pihak menyokong beliau untuk mendedahkan segala kebenaran tentang kerakusan politik Dr Mahathir sejak beliau di bangku sekolah sehingga menjadi antara orang yang bersama dengan bekas perdana menteri itu ketika di dalam PPBM.

“Saya tak nak bersalah kepada bangsa saya sendiri, saya perlu tebus dosa saya kepada orang Melayu kerana memecahbelahkan orang Melayu hari ini, saya bangun keluar dan tebus dosa kepada bangsa saya.

“Di dalam Facebook saya ramai yang mengkritik, ada yang kata saya betina, jalang, sundal..itulah harga yang dibayar kepada saya hari ini dengan apa yang saya telah lakukan dulu.

“Cuma saya harap semua pihak terus menyokong saya dalam memberi kebenaran apa yang berlaku selama dua tahun ini,” katanya dalam sesi dialog Perjuangan 4All, malam Sabtu.

Dalam program itu, beliau bersama dengan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali dan Tan Sri Annuar Musa yang bertindak sebagai moderator.


Read more »

share2