Seorang lelaki maut ditanduk seekor kerbau peliharannya ketika cuba menangkap haiwan itu bersama tiga rakannya di Kampung Gantok di sini kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Mangsa dikenali Bazarudin Yeop Yahaya, 60-an dipercayai ditanduk dari arah sisi badan hingga menembusi badannya.
Menurut seorang rakan mangsa dikenali sebagai Lan yang berada di tempat kejadian, sebelum kejadian dia dipelawa mangsa untuk membantunya menaikkan haiwan itu ke atas lori seorang pembeli.
Menurutnya, mangsa memaklumkan kepadanya kerbau itu hendak dijual bagi menampung perbelanjaan salah seorang anak mangsa untuk menyambung pelajaran.
"Kejadian berlaku sangat pantas, arwah cuba mendekati kerbau yang telah ditambat tetapi tiba-tiba diserang hingga jatuh.
"Kerbau terus menanduk arwah walaupun berkali-kali kami menghalaunya, walaupun sedang menahan sakit arwah sempat berpesan supaya kerbau itu tetap dijual," katanya yang masih terkejut.
Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Temerloh dengan sebuah pacuan empat roda milik penduduk kampung.
Mangsa berasal dari Kampung Paya Tambang di sini dikenali penduduk kampung sudah biasa dengan kerja-kerja menangkap kerbau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood mengesahkan kejadian berlaku dan pihaknya menerima laporan di Balai Polis Mentakab jam 10.57 malam semalam.
Menurutnya, mangsa berumur 59 tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan mengalami cedera parah akibat ditanduk kerbau tersebut lalu dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini dan disahkan meninggal dunia.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat pendarahan teruk akibat ditanduk di dada dan abdomen.
"Tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
0 comments:
Post a Comment