Seorang lelaki terpaksa menghentikan perniagaan dan menyara hidup menggunakan wang pencen sebanyak RM900 untuk menjaga isteri yang terlantar dan dua anak masih bersekolah.
Kehidupan pesara, Samail Sulaiman, 63, itu berubah selepas isterinya Salmah Saiman, 56, lumpuh dan bergantung harap kepadanya untuk bergerak di dalam rumah.
Samail berkata, isterinya itu mengidap kencing manis kronik dan darah tinggi termasuk perlu mengambil insulin sebelum diserang strok selepas Aidiladha pada September lalu.
“Dia (Salmah) ada kencing manis dan darah tinggi lebih 20 tahun. Jadi, bila dia strok, langsung tak boleh ditinggalkan sendirian di rumah
“Dia bergantung sepenuhnya pada ubat dan saya pula uruskan dia selain semua kerja rumah sambil dibantu anak bongsu berusia 14 tahun yang tinggal bersama kami,” katanya ketika ditemui di Taman Merbau Indah, di sini.
Menurutnya, perbelanjaan bagi menampung keperluan lampin pakai buang, susu serta kos ulang-alik ke hospital menelan kos melebihi RM600 sebulan.
“Sebab nak jaga isteri, saya berhenti kerja dan berniaga, hanya harapkan pencen bulanan saja.
“Kalau ikutkan, memang tak cukup sebab kadang-kadang belanja untuk dia terlebih sikit. Tapi, saya kena berjimat sebab duit pencen pun cuma RM900 saja.
“Anak pula dua orang masih belajr termasuk seorang di kolej. Dua lagi dah kahwin tapi tinggal di Johor dan Selangor. Kalu dulu, saya niaga bolehlah tambah pendapatan,” katanya.
Katanya, pergerakan Salmah terbatas berikutan 90 peratus sebelah kanan dan 40 peratus sebelah kiri badan gagal berfungsi itu mendapat perhatian pemimpin setempat.
“Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Dato' Sri Norol Azali Sulaiman ada datang ke rumah kami baru-baru ni.
“Terima kasih kepada semua yang prihatin keadaan isteri termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang luluskan permohonan bantuan Salmah sebulan lalu.
“Alhamdulillah, dengan bantuan JKM termasuk YB, dapatlah ringankan beban saya dan sekurang-kurangnya juga melegakan kesusahan yang ditanggung,” katanya.
0 comments:
Post a Comment