Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 19, 2017

[ROMPIN] PEMERAS UGUT WARGA ASING DICEKUP


Enam individu menyamar pihak berkuasa dicekup


Sekumpulan enam individu yang menjalankan kegiatan memeras ugut pekerja warga asing dengan menyamar sebagai pihak berkuasa menerima padah selepas seorang daripada mereka berjaya dicekup sekitar jam 10 lebih malam tadi.

Kegiatan mereka itu yang menyasarkan rumah-rumah kongsi disedari penduduk setempat sebelum mengambil tindakan bersama pasukan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) Kampung Janglau.

Ketua Peronda SRS Kampung Janglau, Rusli Harun, 47, berkata, seorang penduduk telah menghubunginya sekitar jam 10 lebih memaklumkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, tanpa membuang masa terus menghubungi peronda SRS lain dan penduduk ke lokasi yang dimaklumkan.
Advertisement

"Saya memandu kereta ke arah rumah kongsi di Pusat Pembangunan Komoditi Pertanian Janglau, ketika memasuki sempang saya bertembung dengan tiga motor suspek yang sedang dikejar penduduk.

"Jalan sempit jadi mereka terpaksa menyusur di tepi kereta, saya buka pintu dan keluar kereta, dua motor terlepas tapi satu saya sempat pegang, terus saya cabut kunci motor," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Rusli berkata, pelbagai alasan diberikan suspek agar dia dibebaskan namun beliau menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor yang dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, individu yang ditahan berusia 21 tahun dan merupakan penduduk tempatan.

"Hasil siasatan awal mereka ini telah beberapa kali melakukan kegiatan memeras wang pekerja warga asing dengan menyamar sebagai pihak berkuasa. Setakat ini kita tahan suspek dan melakukan ujian air kencing ke atasnya," katanya.

Dalam pada itu, Azli turut memuji tindakan diambil penduduk dan pasukan SRS Kampung Janglau yang peka dengan kegiatan melanggar undang-undang di kawasan itu.


0 comments:

share2