PUAS! Itu perkataan paling sesuai menggambarkan perasaan seseorang pendaki tatkala sampai di puncak gunung selepas terpaksa berhempas pulas menempuh laluan berliku penuh mencabar.
Ketika itu, senyuman menghiasi diri walaupun dibasahi keringat kerana berbangga dengan keupayaan diri sendiri yang berjaya menamatkan cabaran itu.
Bagi mereka yang berpengalaman mendaki, semestinya jarang berdepan masalah berbanding pendaki amatur yang kerap berasa putus asa dan mudah mengalah sebelum tiba di puncak.
Tidak dinafikan, aktiviti lasak ini amat memenatkan namun, menikmati keindahan semula jadi di puncak gunung mempunyai nilai tersendiri, dan perasaan itu semestinya dirakamkan sebagai kenangan.
Bagi Nur Laili Abdullah, 43, saat menakluki puncak gunung merupakan momen terindah yang sukar digambarkan kerana ia jarang dapat dinikmati di kawasan tanah rendah.
Memasuki kawasan hutan semasa mendaki Bukit Tokun, Pulau Pinang antara cabaran yang perlu diatasi peserta.
Menurutnya, meskipun aktiviti ini memerlukan ketahanan stamina dan kekuatan mental, dia mampu melakukannya demi minat yang mendalam terhadap aktiviti ini.
“Selalunya, saya bersama kumpulan (Persatuan Kecergasan Daerah) akan melakukan aktiviti ini bersama-sama, dan untuk tempoh setahun, kami sudah mendaki lebih 10 gunung yang terdapat di negara ini.
“Memandangkan kami pergi dalam kalangan pendaki profesional, amatur dan veteran, ia memerlukan banyak pengorbanan dari segi masa dan tenaga,” katanya.
Laili yang telah melakukan aktiviti ini sejak 2012 berkata, biar pun para pendaki lambat tiba di puncak tetapi apabila semua peserta dalam kumpulan tiba, itu satu kepuasan kepada mereka. Jang Nong Chik, 67, berkata, pendakian Gunung Kinabalu adalah antara pengalaman paling mencabar yang pernah dirasai.
“Pada usia ini, saya tidak menyangka mampu sampai ke puncak. Mungkin orang lain mengalah, tetapi tidak saya. Sokongan daripada ahli kumpulan banyak membantu saya untuk tiba di puncak.
“Memang ada rasa putus asa, tapi mereka terus paksa saya untuk mendaki sebab sebelum itu, saya dah melakukan berbagai-bagai latihan untuk menguatkan stamina,” katanya.
Antara peserta yang melepasi perjalanan berliku untuk tiba di puncak Bukit Kutu, Selangor.
Katanya, satu kerugian jika berhenti di tengah jalan tanpa sempat menikmati keindahan pandangan dari puncak Gunung Kinabalu, dan ternyata ia benar.
Sementara itu, Razali Harun, 34, memberitahu, semangat berpasukan sangat penting sepanjang pendakian bagi memastikan kumpulan mereka yang bilangannya antara 20 hingga 30 orang bersama-sama berjaya mengharungi cabaran.
Menurutnya, sebelum aktiviti itu, mereka terlebih dahulu menjalani latihan bagi meningkatkan stamina, dan aktiviti pendakian yang dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan mampu mengasah kemahiran mendaki.
“Kadang-kadang, kami mendaki dua atau tiga gunung dalam tempoh sebulan. Pengalaman seperti ini adalah latihan juga jika mahu mendaki gunung yang lebih mencabar seperti Gunung Irau, Cameron Highland.
“Keadaan struktur muka bumi di Gunung Irau yang licin sememangnya mencabar ketahanan stamina dan mental. Namun, kalau niat kita betul, kita sebenarnya berpeluang kelihatan keindahan semula jadi ciptaan ALLAH SWT.
“Bukan tidak pernah tergelincir dan jatuh, atau berjumpa dengan unggas atau serangga yang pelik tapi itulah nikmat sebenar kalau mendaki. Macam-macam kita boleh lihat,” katanya.
Abdul Rahim Yusoh, 63 berkata, mendaki merupakan sukan yang menyihatkan dan hobi menyeronokkan kerana ia boleh menyihatkan badan terutama jantung, manakala perjalanan darah elok seolah-olah sedang bersenam.
Katanya, dengan mendaki, individu dapat menguji kesabaran, selain mendidik diri untuk terus berusaha dan lebih berdikari.
Menurutnya, faktor usia bukan penghalang untuknya melakukan aktiviti lasak ini, dan seharusnya aktiviti mendaki ini terus mendapat tempat dalam kalangan orang muda bagi menghindari aktiviti negatif.
0 comments:
Post a Comment