Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 16, 2017

[KUANTAN] MENANGIS KENANG NASIB KANAK-KANAK PESAKIT KANSER


Menangis kenang nasib kanak-kanak pesakit kanser


Melihat penderitaan anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa namun terpaksa menanggung penderitaan akibat kanser, ia menjentik rasa kepada jiwa pendidik ini untuk berkongsi segala perasaannya.

Dalam beribu cerita kemasyarakatan, derita pesakit kanser menjadi fokus Kelab Pekasih Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan apatah lagi ia merupakan sebahagian pengalaman peribadi kepada pengasasnya yang kehilangan anak bongsunya akibat kanser mata ketika usia 1 tahun 8 bulan.

Penasihat Pekasih, Wan Shahriza Wan Ab Rahman, 49, berkata, sebaik si kecilnya, Muhammad Izzat Anas Ramli, disahkan mengalami kanser mata ketika usianya yang masih belum mengerti apa-apa, hatinya luluh memikirkan kesakitan yang bakal ditanggung tubuh kecil itu.



Wan Shahriza


Menurutnya, dia sebagai ibu mengakui tidak mempunyai kesedaran mengenai simptom-simptom kanser sebelum itu.

“Arwah tidak menunjukkan tanda-tanda sakit pada awalnya, cuma kadang-kadang ternampak refleks putih dari mata hitam seperti mata kucing masa terkena pancaran lampu kereta.

“Mula-mula keadaan itu hanya terjadi pada sebelah mata sahaja, lama-kelamaan nampak pada kedua-dua mata. Melihat keadaan itu, saya bersama adik cuba mencari maklumat di internet mengenai gejala sakit mata. Dari situ baru saya tahu ia tanda-tanda kanser mata atau retinoblastoma,” katanya.
Enam kali anak lakukan kimoterapi

Ibu kepada tujuh cahaya mata itu berkata, dia membuat keputusan merujuk Izzat ke hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum di diagnos bahawa Izzat mengidap kanser mata tahap satu.

Bagaimana pun, apabila Izzat dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), doktor mengesahkan kanser Izzat sudah di tahap empat.

“Hati saya bagai nak pecah. Tak tahu apa boleh dilakukan saat itu, cuma hanya mendengar saranan doktor yang merawat Izzat.

“Doktor menasihatkan agar mata kanan Izzat dibuang bagi mengelak sel kanser merebak. Dalam masa dua hari, mata kanan Izzat dibuang. Izzat menjalani beberapa siri kimoterapi untuk mata kiri namun tidak lama selepas itu, mata kiri juga menjadi gelap. Mata kiri Izzat dibuang,” katanya.


Malam Amal Kelab Pekasih diadakan bagi mengumpul dana.

Wan Shahriza berkata, Izzat meneruskan rawatan kimoterapi sebanyak enam kali dan 20 rawatan radioterapi selepas mata kirinya dibuang.

Katanya, dia sekeluarga sedikit lega selepas melihat Izzat berjaya melalui kesemua rawatan susulan itu.

“Namun, dua bulan selepas itu, Izzat mula demam berterusan dan saya membawanya ke HKL sekali lagi.

“Ketika itu, doktor memaklumkan, sel kanser sudah menyerang otak Izzat dan hanya dua bulan sahaja mampu bertahan,” katanya.

Wan Shahriza berkata, air matanya sudah habis untuk menunjukkan kesedihannya namun hati tetap reda menerima pemergian Izzat menghadap Ilahi pada Februari 2015.
Bantu kanak-kanak kanser

Pengalaman sepanjang menjaga Izzat dimanfaatkan Wan Shahriza untuk membantu pesakit kanser kanak-kanak melalui Pekasih.

“Saya antara AJK Penaja yang menubuhkan HKL KIDS, kumpulan sokongan anak-anak kanser HKL setahun lebih selepas Izzat pergi.

“Justeru, saya amat berbesar hati menggunakan platform Pekasih dengan mendidik dan memberi pendedahan awal kepada pelajar untuk berdepan dengan pesakit kanser kanak-kanak,” katanya.

Guru Bahasa Inggeris MRSM Kuantan itu berkata, pelbagai program dilaksanakan untuk menyantuni pesakit kanser kanak-kanak yang ada.

“Saya beritahu kepada ahli Pekasih cuba dekati dan beri sokongan dari segi moral kepada pesakit kanser yang dilawati.

“Apa yang dijalankan sukarelawan Pekasih ini adalah menggunakan peluang yang ada untuk menggembirakan insan-insan yang sedang diuji ini.

“Ia perlu dilakukan secara berterusan seperti menghantar kad ucapan ulang tahun dan sebagainya. Malah selepas pesakit meninggal dunia, kita masih berhubung dengan keluarga mereka,” katanya.

Antara aktiviti yang pernah dilaksanakan adalah Projek Lego For Danish, Ziarah Kanak-Kanak Kanser di Wad Pediatrik HKL, Wishing Star Movie Screening Upin Ipin, Misi Kasih Sayang, Khidmat Amal membersihkan rumah dua beradik yatim piatu dan Projek Untuk Gelandangan di Kuala Lumpur.


0 comments:

share2