Dua beradik terpaksa melalui pengalaman pertama kali membeli pakaian sekolah sendiri selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dalam tempoh tujuh bulan.
Norfatihah Md Zuki, 15 dan adiknya Norjahriah, 13, kehilangan bapa pada November lalu akibat serangan jantung sementara ibu mereka meninggal dunia disebabkan masalah organ dalaman, April lalu.
Norfatihah berkata, sebelum ini, dia dan adik beradiknya akan berasa teruja setiap kali hendak membeli pakaian sekolah baharu ditemani kedua ibu bapa mereka.
“Kali ini keadaan sangat berbeza kerana saya dan adik perlu beli pakaian sendiri. Anak-anak lain mesti sekarang ini tengah teruja memilih dan membeli baju dan kasut dengan ibu bapa masing-masing.
“Lepas kematian mereka, saya, adik dan seorang lagi kakak, Norzuliana yang berumur 20 tahun dan belajar di Universiti Malaya dalam jurusan Bahasa Melayu dijaga oleh datuk dan ibu saudara yang menetap di Felda Padang Piol,” katanya.
Menurutnya, dia dan Norjahriah yang akan ditempatkan di asrama pada sesi persekolahan akan datang, sering dibantu dari segi kewangan oleh ibu dan bapa saudaranya.
Dalam pada itu, Norfatihah dan Norjahriah adalah antara 36 penerima sumbangan bantuan persekolahan bersempena program I Love School 2018 anjuran Nisa Jerantut, kelmarin.
Menurut Ketua Nisa Jerantut, Nur Syakira Zainal berkata, kelengkapan sekolah bernilai RM150 disumbangkan kepada penerima yang disampaikan Timbalan Pengarah Jerantut Cakna, Zuridan Daud dan yang dihadiri Yang DiPertua Pas Kawasan Jerantut, Yuhanis Ahmad dan Pl.
“Kita bawa semua penerima terdiri dari anak-anak yatim dan fakir miskin ke pasar raya untuk membeli pakaian persekolahan mereka.
“Ia bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh ahli keluarga penerima sekali gus membolehkan mereka bersekolah dengan lebih bersemangat apabila mula sesi persekolahan nanti,” katanya.
0 comments:
Post a Comment