Kota Bharu - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pakar ‘U-turn’terbaik negara berikutan pendirian terbaharunya yang menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara.
Beliau berkata, tindakan Dr. Mahathir sememangnya sudah dijangka memandangkan sebelum ini bekas Perdana Menteri itu sudah berulang kali membuat pusingan U membabitkan pelbagai perkara termasuk bekerjasama dengan DAP.
Katanya, Dr. Mahathir perlu ingat beliau adalah orang yang bertanggungjawab memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menuduh Penasihat PKR itu melakukan jenayah liwat dan pelbagai lagi perkara lain yang menjijikkan.
“Maklamat Dr. Mahathir ini tidak lain tidak bukan adalah untuk jatuhkan Perdana Menteri dan menaikkan individu-individu tertentu seperti anaknya, konco-konconya dengan sanggup melakukan apa sahaja.
“Demi mencapai maklamat, Dr. Mahathir sanggup jilat kembali segala tuduhannya terhadap Anwar,” katanya kepada pemberita selepas menyertai sesi Town Hall bersama pemimpin-pemimpin akar umbi UMNO dan warga Kota Bharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota di sini semalam.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; Ketua Pengerakan Pemuda UMNO negeri, Mohd. Azam Ismai; dan pemimpin-pemimpin setempat.
Semalam, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menggesa agar Anwar segera dibebaskan dari penjara.
Dr. Mahathir membuat gesaan tersebut menerusi satu kenyataan bersama dengan peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley dengan menganggap Anwar sebagai tahanan politik dan perlu dibebaskan segera.
0 comments:
Post a Comment