Jakarta - Speaker Parlimen Indonesia, Setya Novanto yang dikaitkan kes rasuah bernilai AS$170 juta (RM706.86 juta) dilaporkan mencetus 'drama' apabila mendakwa cedera dalam sebuah kemalangan jalan raya.
Dakwaan tersebut dibuat susulan kegagalan serbuan oleh pasukan anti-rasuah ke kediaman mewahnya.
Laporan portal media AFP mendedahkan gambar menunjukkan Setya dalam kesakitan terbaring di katil hospital ibu kota itu bersama tiub ubat pada hidungnya.
Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, menyelar Setya dengan tuduhan cuba mengelak pegawai anti-rasuah yang mahu menyoalnya dalam satu daripada skandal rasuah terburuk Indonesia.
"Tindakan seperti ini membuatkan pihak lain mempersoalkan dan mempertikaikan segala-galanya.
"Pemimpin perlu mematuhi undang-undang dan dipercayai orang ramai, jika mereka larikan diri seperti ini, bagaimana mereka boleh dipercayai?" katanya
Malam kelmarin, pegawai daripada Suruhanjaya Penghapusan Rasuah (KPK) menyerbu kediaman Netya yang bernilai jutaan dolar di kawasan mewah ibu kota itu, terkenal dengan jurang ekstrem antara golongan kaya dan miskin.
Namun Setya gagal ditemui sekali gus mencetuskan pencarian meluas meliputi seluruh Jakarta.
Ahli politik berusia 62 tahun itu diletakkan dalam senarai paling dikehendaki Indonesia sebelum muncul di hospital semalam, susulan dakwaan terbabit dalam kemalangan, walaupun tiada tanda kecederaan serius.
Pihak berkuasa mahu menyoalnya berhubung dakwaan dia dan ahli politik lain menggelapkan jutaan dolar dana awam dikaitkan dengan projek negara yang mengeluarkan kad pengenalan baharu kepada 255 juta penduduk republik ini.
Peguam Setya berkata, anak guamnya bukan enggan mengelak disoal, sebaliknya menyifatkan keadaan anak guamnya sebagai 'lemah' dan bimbang akan dilayan secara tidak adil oleh badan anti-rasuah.
0 comments:
Post a Comment