Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 29, 2017

[KUANTAN] PETANI DIGALAK GUNA PENDEKATAN APB


sawah padi


Petani dan usahawan tani di negeri ini digalakkan menguruskan ladang dan kebun mereka dengan menggunakan Amalan Pertanian Yang Baik (APB) bagi mengatasi dan mengurangkan kenaikan kos dalam pengeluaran hasil tanaman.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Dato' Shafik Fauzan Sharif berkata pendekatan APB ini akan meningkatkan lagi pengeluaran hasil tanaman yang lebih segar dan berkualiti tinggi.

“Petani juga digalakkan supaya menguruskan kebun mereka sehingga memperolehi persijilan myGAP di mana dengan adanya sijil ini, hasil tanaman tadi akan lebih mudah untuk mendapat pasaran yang meluas terutama di pasaraya besar dalam dan luar negeri.

“Petani juga disarankan menggunakan lebih banyak bahan organik yang dibuat sendiri seperti ‘plant booster’ untuk mengurangkan kos pengeluaran. Permintaan bahan makanan organik semakin mendapat tempat kerana ia bebas daripada penggunaan bahan kimia serta mampu menjaga alam sekitar.

“Sehubungan itu kerajaan negeri amat menggalakkan seramai mungkin petani mengeluarkan hasil tanaman mereka secara organik dan Jabatan Pertanian sendiri mempunyai program untuk memajukannya bagi membolehkan petani memperoleh persijilan my Organic,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Syed Hamid Syed Mohamed (Amanah-Kuala Semantan) tentang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk membantu golongan petani, penternak dan nelayan untuk meningkat hasil mereka.

Mengulas lanjut tentang perkara itu Shafik berkata selain itu, Jabatan Perikanan negeri turut membimbing golongan penternak ikan dan nelayan meningkatkan hasil mereka dengan membina beberapa kemudahan pemasaran ikan di bawah program Kluster Sungai Pahang bagi memudahkan mereka menjual ikan dengan harga yang lebih baik.

“Bagi nelayan Zon A di daerah Pekan, Jabatan Perikanan turut membina sebanyak 80 buah sangkar ikan bagi menambah pendapatan mereka pada musim tengkujuh selain menggalakkan mereka menjual terus hasil kepada pemborong atau peruncit tanpa melalui orang tengah.

“Bagi penternak ikan, kita juga menggalakkan mereka menyertai persatuan penternak ikan di kawasan masing-masing kerana melaluinya mereka dapat merancang pengeluaran hasil agar tidak bertindih antara satu sama lain serta mengelak masalah lambakan ikan,” katanya.

Manakala untuk penternak pula, Jabatan Veterinar negeri membantu golongan itu menerusi program transformasi bidang penternakan daripada kaedah unilateral iaitu penggemukan lembu (feed lotting) kepada aktiviti multilateral iaitu pembiakan lembu menerusi teknologi permanian beradas (AI), pemprosesan makanan dan pengeluaran produk hiliran seperti pemprosesan susu segar.


0 comments:

share2