Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 14, 2017

KERAJAAN AMBIL ALIH PENGURUSAN PPR





Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam bakal ditubuhkan kerajaan bagi mengambil alih kerja penyelenggaraan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata pihaknya dalam proses akhir menggubal Akta Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam bagi membolehkan perbadanan itu beroperasi.

Menurutnya apabila pindaan diluluskan, pengurusan penyelenggaraan yang kini di bawah Badan Pengurusan Bersama (JMB) akan diserahkan kepada perbadanan berkenaan yang diuruskan oleh kerajaan Persekutuan.

“Langkah itu bagi menyelesaikan masalah penyelenggaraan PPR yang tidak terurus.

“Ini juga adalah langkah kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk rumah mampu milik di seluruh negara terjamin, selain memastikan JMB tidak dibebani kos penyelenggaraan yang mahal,” katanya.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada ketika ini, kerajaan membina rumah PPR dan menyerahkan kepada JMB.

“Perdana Menteri putuskan untuk membantu rakyat miskin, kosnya 100 peratus perlu ditanggung kerajaan,” tegas Noh.

Mengambil contoh kes pengurusan lif di PPR Lembah Subang, Selangor, beliau berkata kerajaan menangung RM16 juta untuk membaiki 10 lif di perumahan itu,.

“Kita tidak dapat bergantung kepada JMB kerana mereka tidak mampu.

“Tidak seperti kerajaan Selangor kononnya hendak membantu, tetapi mengenakan syarat 20 peratus daripada kos membaiki lif ditanggung JMB,” katanya yang juga Pengerusi BN Selangor.


0 comments:

share2