Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 25, 2017

[TEMERLOH] BANTUAN SEGERA DIAGIH KEPADA MANGSA RIBUT


Bantuan segera diagih kepada mangsa ribut


Bantuan segera kepada mangsa ribut diagihkan kepada semua yang terlibat di Taman Saga (Rakit), malam kelmarin.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri Pahang, Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, bantuan berbentuk barangan keperluan segera seperti tilam dan selimut serta wang tunai diserahkan kepada mangsa sebaik sahaja maklumat kejadian diterima daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, kerajaan negeri dan Umno akan membantu kesemua mangsa ribut itu dengan menyelaraskan bantuan daripada semua agensi sebelum diagihkan kepada mangsa terlibat.

"Kita mempunyai satu pasukan yang kita namakan pasukan bencana bagi membantu kejadian-kejadian seperti ribut ini.

"Umno bukan membantu bersendirian sebaliknya kita mempunyai kerjasama dengan Bomba, APM dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kita bergerak dalam satu saluran, semua yang terlibat masing-masing mempunyai peranan, Alhamdulillah hari ini kita sudah buat penyampaian bantuan dan hari esok (semalam) kita akan buat kerja membaiki kerosakan pada rumah yang terlibat," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut di Taman Saga di sini malam kelmarin.

Mohd Sharkar yang juga Adun Lanchang berkata, beliau memahami apa yang dirasakan penduduk di situ kerana hampir semua yang terlibat adalah mereka yang mendiami rumah kos rendah.

Beliau berkata, pihaknya memahami bantuan segera perlu diberikan memandangkan mereka yang tinggal di sini sudah tentu mempunyai masalah kewangan dan keutamaan baiki rumah akan dibuat kepada mereka yang mengalami kerosakan teruk.

"Ini adalah amalan biasa yang kita buat sejak 2013 dan ia adalah arahan daripada menteri besar untuk segera membantu mangsa bencana seperti ini," katanya.


0 comments:

share2