Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 24, 2017

PULAU PINANG GUNA SOP SENDIRI PEMBANGUNAN KAWASAN BUKIT


Noh Omar


Kuala Lumpur - Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP tidak mengguna pakai Garis Panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi yang menjadi rujukan pembinaan di negara ini, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata, sebaliknya Pulau Pinang mempunyai garis panduan yang dirangkanya sendiri.

“Ini di bawah kuasa kerajaan negeri, mereka mempunyai sebab tertentu untuk tidak menggunakan garis panduan kami kerana mungkin keadaan muka bumi di situ berbeza, cuma kami di peringkat Persekutuan berharap ia dapat diseragamkan,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, Noh berkata, kementeriannya telah menghantar surat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang meminta mereka membentangkan laporan kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan perumahan rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Sabtu lepas.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu membentangkan laporan itu pada Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Oktober ini.

“Kita dah minta mereka untuk menyediakan satu laporan dan membentangkan mengenai peristiwa itu supaya kita akan tahu lebih terperinci mengenai apa yang berlaku,” katanya.

Mayat kesemua 11 mangsa yang dilapor tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu telah dijumpai dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan sepenuhnya pada 12.05 tengah hari semalam.

Ketika kejadian pada 8.57 pagi Sabtu, kesemua 11 mangsa sedang bekerja di bahagian bawah bangunan yang sedang dibina apabila tanah lereng bukit itu runtuh dan menimbus mereka.


0 comments:

share2