Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 4, 2017

[PEKAN] JEJAK SEJARAH LALUAN PENARIKAN


Jejak sejarah Laluan Penarikan


Inisiatif menyusuri Sungai Pahang hingga ke Melaka melalui Program Ekspedisi Menyusuri Laluan Penarikan Bersejarah Di Dalam Tamadun Awal Melayu, bermula semalam, mampu menyokong dan mencungkil kembali fakta serta lokasi sejarah tinggalan zaman kegemilangan Hang Tuah di negara ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Haron berkata, melalui ekspedisi itu pelbagai pendedahan dapat ditonjolkan kepada masyarakat mengenai sejarah Laluan Penarikan melalui sungai yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung satu ketika dahulu.

Menurutnya, berdasarkan fakta sejarah, Laluan Penarikan antara laluan terpenting kerana turut digunakan Hang Tuah ketika membawa lari Tun Teja dari Pahang ke Melaka.

“Ekspedisi anjuran Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) ini mendapat sokongan dan kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

“Melalui ekspedisi ini peserta terlibat akan singgah di beberapa kampung sepanjang laluan itu dan mengadakan aktiviti bersama masyarakat setempat.

“Mungkin ramai tak tahu khususnya generasi baharu, kenapa ia dinamakan Laluan Penarikan. Jadi melalui inisiatif ini kita harap lebih banyak tinggalan sejarah ditemui di sepanjang sungai sejauh 450 kilometer yang bermula di sini (Pahang) dan berakhir di Sungai Ulu Duyung, Melaka, Jumaat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis perasmian Program Ekspedisi Menyusuri Laluan Penarikan Bersejarah Di Dalam Tamadun Awal Melayu, di Hotel Ancasa Royale, di sini, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan Exco Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Ekspedisi tersebut melibatkan seramai 45 peserta daripada belia Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang menelusuri sungai bermula di Sungai Pekan dan akan bermalam di Ibam dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Padang Jambu, Jempol, Olak Sepam, Muar dan berakhir di muara Sungai Duyung, Melaka.

Idris berkata, Laluan Penarikan menghubungkan dua sungai iaitu Sungai Serting, sebelah utara yang mengalir masuk ke Sungai Bera dan mengalir pula ke Sungai Pahang dan Sungai Jempol di selatan lalu mengalir masuk Sungai Muar.

“Nama itu diperoleh selepas catatan sejarah mendapati Hang Tuah telah mengarahkan pengiringnya mengangkat perahu yang digunakan membawa Tun Teja ke darat sebaik melepasi Sungai Bera, Pahang dan menarik kembali memasuki laluan ke Sungai Serting, Negeri Sembilan yang mengalir masuk ke Sungai Muar, Johor bagi mengelirukan tentera istana Pahang.

“Panjang laluan tersebut kira-kira 600 meter dan sebab itulah ia dinamakan Laluan Penarikan.

“Jelas menunjukkan Hang Tuah ketika itu sangat bijak kerana ketika dia berjaya bawa lari Tun Teja, dalam masa yang sama tentera istana Pahang sedang mengejar mereka ingatkan sudah menghala ke laut sedangkan Hang Tuah mendapat idea menggunakan laluan sungai dengan melawan arus menyusuri pula ke hulu Sungai Pahang sebelum meneruskan perjalanannya,” katanya.

Dalam pada itu, Norol Azali berkata, program ekspedisi itu diharapkan dapat membuka mata generasi muda, khususnya mengenai asas pembangunan tamadun yang berlaku di negara ini terutama membabitkan sejarah awal Kesultanan Melayu dan Nusantara secara keseluruhannya.

“Melalui ekspedisi ini ia bukan sahaja menjadi satu cabaran baharu bagi orang muda untuk memahaminya malah berpeluang untuk mengangkat kembali fakta sejarah yang ada.

“Saya turut difahamkan semua program dijalankan sepanjang ekspedisi ini akan dibukukan pihak IKSEP dan ia merupakan usaha terbaik kerana dapat merekodkan dengan lebih lengkap setiap butiran perjalanan dilalui Hang Tuah dan Tun Teja,” katanya.


0 comments:

share2