Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 26, 2017

[KUANTAN] LEGA DAPAT BEKALAN AIR BERSIH


Lega dapat bekalan air bersih


Lebih 700 masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Mas menikmati bekalan air bersih selepas saluran paip dari Bukit Serai sepanjang lima kilometer (km) siap dibina minggu lalu.

Projek yang turut membabitkan aktiviti membersihkan kolam takungan air diusahakan secara gotong-royong selama tiga hari itu membabitkan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan dan penduduk kampung.

Adun Sungai Lembing, Dato' Md Sohaimi Mohamed Shah berkata, seramai 150 orang menyertai program gotong-royong kali pertama diadakan yang turut membabitkan penggunaan jentera.

Menurutnya, kos menyediakan saluran paip sepanjang lima kilometer berharga RM10,000 dibiayai sepenuhnya oleh pejabat kesihatan daerah yang sentiasa berusaha membantu masyarakat Orang Asli di daerah ini.

“Sebelum ini projek menyediakan bekalan air bersih kepada masyarakat Orang Asli oleh agensi terbabit dilakukan di Kampung Bukit Bangkong yang menempatkan lebih 300 penduduk.

“Malah dengan sokongan dan keprihatinan Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail yang turut menyediakan peruntukan khas melancarkan lagi program untuk kesejahteraan masyarakat Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Sungai Lembing,” katanya selepas meninjau projek terbabit kelmarin.

Md Sohaimi berkata, penggunaan air bukit bukan sahaja tidak memerlukan masyarakat Orang Asli membayar bil setiap bulan, malah kualiti air yang digunakan pada tahap terbaik dan bebas daripada sebarang pencemaran.

Katanya, sekiranya projek ini diberikan kepada kontraktor harganya mencecah RM40,000 dan akan mengambil masa lebih dua minggu untuk disiapkan.

“Masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Mas perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa memberi perhatian terhadap nasib mereka walaupun jauh di pedalaman.

“Saya berharap masyarakat Orang Asli yang menetap di Dun Sungai Lembing dapat terus menyokong kerajaan bagi memastikan lebih banyak bantuan dan kemudahan dapat disediakan di penempatan mereka,” katanya.

Tambahnya, turut menjadi agenda utama kerajaan membantu Orang Asli ialah kemudahan rumah, jalan dan bantuan persekolahan selain bekalan air bersih.


0 comments:

share2