Kehilangan isteri yang maut akibat ditikam penyamun ketika rumah mereka dipecah masuk pada 29 Sept lepas cukup memberi kesan kepada Mohd Nasrul Mansor serta tiga orang anaknya.
Masih jelas terbayang di dalam kotak fikiran mereka sekeluara kejadian ngeri berkenaan menyebabkan anak bongsu pasangan itu yang berusia empat tahun trauma dan sering ketakutan apabila kembali ke rumah mereka di Kampung Hijrah di sini.
“Kejadian itu, masih segar terutama anak yang paling kecil...buat sementara saya tinggal bersama ibu di Peramu tetapi setiap kali kembali ke rumah di Kampung Hijrah, anak-anak saya kelihatan trauma terutama anak lelaki saya yang berusia empat tahun. Dia selalu memberitahu ada orang dekat atas rumah,” katanya yang turut mempunyai dua anak berusia 13 dan lapan tahun.
Kesedihan keluarga itu bagaimanapun sedikit terubat apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tampil memberikan bantuan faedah pengurusan jenazah RM2,000 dan pencen bulanan RM475 bagi meringankan beban mereka.
Bapa tunggal yang berusia 32 tahun itu, tidak menyangka akan mendapat bayaran faedah daripada Perkeso melalui caruman isterinya kerana isterinya tidak lagi bekerja selepas mereka berkahwin.
“Saya tahu dia bekerja sebelum kami berkahwin tetapi tidak menyangka dia ada mencarum dengan Perkeso. Saya hanya mengetahuinya selepas petugas Perkeso menghubungi saya dan memaklumkan tentang perkara itu.
Dalam kejadian 29 September lepas, mangsa Norhasilah Ismail, 34, ditikam selepas disamun ketika dalam perjalanan pulang ke rumah daripada menghantar anaknya ke sekolah sekitar pukul 8 pagi. Ketika kejadian suaminya keluar menjual ikan di pasar borong Kamunting di sini.
Selain Mohd Nasrul, Perkeso turut menyampaikan bayaran faedah kepada dua penerima lain Ahmad Fadhli Hilmi Jamaludin, 26, dan Khosaimi Abu Bakar, 48, dengan jumlah keseluruhan bayaran untuk ketiga-tiga lebih RM127,000.
Ahmad Fadhli yang merupakan seorang juruteknik terlibat dalam kemalangan di tempat kerja menerima bayaran faedah Hilang Upaya Kekal sebanyak RM102,957.10 manakala Khosaimi yang bekerja sebagai pekerja am turut menerima bayaran faedah hilang upaya kekal RM22,329.22 serta pencen bulanan RM483.84 setelah mengalami masalah sakit bahu akibat kerja pengimpalan.
Faedah Perkeso berkenaan disampaikan oleh Pengarah Perkeso Pahang Abu Hurairah @ Al Masri Ahmad dalam program bersama pemimpin masyarakat Orang Asli.
0 comments:
Post a Comment