Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 6, 2017

[BENTONG] ZIARAH SELAMI PERIT JERIH RAKYAT


Ziarah selami perit jerih rakyat


"Selama ni suami yang bantu kalau makcik nak bergerak ke mana-mana," kata seorang penduduk Felda Sungai Kemahal yang terpilih menerima bantuan dalam siri kunjungan bersama Umno Cawangan Sungai Kemahal, semalam.

Zalma Aziz, 73, antara 24 pesakit kronik yang mendapat perhatian Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menyumbangkan kerusi roda, lampin pakai buang dan tongkat kepada penerima bagi meringankan beban yang ditanggung.

Zalma yang menghidap penyakit kencing manis berkata, dia mula menghidap penyakit itu sejak setahun lalu.

“Kaki kanan makcik dah berlubang sebab penyakit ni, jadi nak bergerak faham-faham sajalah...memang susah. Nak tak nak, suami yang bantu.

“Makcik berbesar hati terima bantuan kerusi roda dan tongkat ni. Terharu, sebab ada yang sudi datang melawat...terima kasih kepada pihak yang membantu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Penyerahan sumbangan disampaikan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Kemahal, Mohamed Shaipudin Baba.

Sementara itu, Mohamed Shaipudin berkata, kunjungan dan penyerahan sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab mereka untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Aktiviti ziarah ke rumah pesakit dilakukan hanya untuk selami perit jerih hidup penduduk yang memerlukan.

“Kami berterima kasih kepada Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana sentiasa bersama rakyat di sini dan sedia hulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan mengikut kemampuan.

“Sumbangan ini diharap dapat ringankan beban selain memudahkan mereka dalam menguruskan kehidupan seharian,” katanya.


0 comments:

share2