Kuala Lumpur - Gesaan seorang pemimpin pembangkang agar Kabinet menolak jemputan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke White House adalah sesuatu yang sangat ganjil dan tidak wajar.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata pemimpin pembangkang seperti penasihat DAP, Lim Kit Siang seharusnya faham bahawa memenuhi jemputan seumpama itu adalah satu peranan besar bagi Malaysia dalam usaha menjalin hubungan diplomatik.
"Malah ia merupakan lawatan rasmi dan akan berupaya meningkatkan hubungan dua hala yang lebih komprehensif dan progresif," kata Irmohizam dalam satu kenyataan semalam.
Beliau mengulas tindakan Kit Siang yang menghantar surat terbuka kepada anggota Kabinet pada 28 Ogos lalu, menggesa mereka supaya membatalkan lawatan kerja Najib ke Washington dijadualkan 12 September ini.
Irmohizam yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor berkata, tindakan Kit Siang itu membuka aib sendiri bahawa mereka gagal memahami konsep mentadbir negara dengan baik.
"Jika beginilah cara mereka berfikir dan bertindak, maka negara Malaysia tidak akan dipandang tinggi dan dihormati oleh negara-negara maju yang lain," katanya.
Irmohizam berkata, tindakan pembangkang itu seolah-olah mahu menggagalkan lawatan tersebut kerana bimbang segala usaha mereka untuk memburuk-burukkan kepimpinan Najib akan gagal setelah pertemuan dua mata di antara Trump dan Najib.
0 comments:
Post a Comment