Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 8, 2017

SISTEM UNTUK PENJAWAT AWAM SEMAK HARGA RUMAH DILANCAR


Sistem untuk penjawat awam semak harga rumah dilancar


Sistem Semakan Harga Rumah Untuk Penjawat Awam dilancarkan hari ini sebagai panduan kepada penjawat awam untuk mengetahui harga rumah semasa.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah ketika berucap melancarkannya di sini hari ini berkata pembangunan sistem itu adalah bertepatan dengan masa kerana kini terdapat banyak portal harta tanah yang memaparkan pelbagai iklan jualan harta tanah dengan pelbagai harga.

"Ini amat mengelirukan rakyat kerana harga yang dipaparkan adalah ‘asking price’ yang diinginkan oleh penjual dan bukan harga yang ditransaksikan dalam pasaran," katanya.

Dibangunkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), penjawat awam dapat menyemak harga rumah yang ditransaksikan dalam pasaran mengikut jenis dan lokasi melalui sistem itu, katanya.

"Ia boleh digunakan semasa hendak membuat permohonan untuk pembiayaan sektor awam dan semasa untuk melupuskan harta kediaman," katanya.

Beliau menyarankan penjawat awam menyemak terlebih dahulu harga rumah sebelum membuat komitmen atau menandatangani surat perjanjian jual beli untuk mengelakkan kekurangan pinjaman selaras dengan kelayakan pinjaman yang ditetapkan.

"Pinjaman hanya diberi berdasarkan nilai harta yang dicagarkan dan dalam hal ini JPPH berperanan untuk menentukan nilai harta yang dicagarkan untuk pinjaman," katanya.

Mohd Irwan Serigar berkata sistem tersebut akan memberi panduan kepada penjawat awam untuk mendapatkan harga bagi harta kediaman yang ingin dibeli sebelum permohonan pinjaman dibuat.

"Namun, harga yang dipaparkan masih perlu disahkan oleh pihak profesional sebelum harga tersebut dimuktamadkan," katanya.

Semakan dalam talian Semakan Harga Rumah Untuk Penjawat Awam boleh dibuat di laman sesawang http://jpph.gov.my/v2/login_julat.php?

0 comments:

share2