Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 22, 2017

[JERANTUT] GAJAH JANTAN MASIH BERKELIARAN


Gajah jantan masih berkeliaran


Masalah seekor gajah jantan liar berkeliaran di sekitar kawasan Kampung Paya Garuk di sini, yang pernah dilaporkan akhbar ini pada 10 Mei lalu masih belum diselesaikan sehingga kini.

Mamalia itu yang sebelum ini dilihat berkeliaran di kawasan rumah pasangan warga emas, Mat Rashid Mat Dahari, 65, dan isterinya, Rohani Daud, 53, kini dilihat berkeliaran di rumah penduduk lain pula.

Penduduk, Basrah Mat Yaakob, 56, berkata, ini kali pertama dia dan tiga lagi ahli keluarganya merasai pengalaman gajah liar berada bersebelahan dengan rumah mereka.

Menurutnya, kejadian itu berlaku Rabu lalu sekitar jam 12 tengah malam ketika hujan lebat.

“Masa hujan lebat tu rumah saya bergelap sebab suis utama elektrik terpadam sendiri dan tengah malam tu suami akak terjaga nak buang air.

"Dia pun pergi ke suis utama nak buka lampu, masa inilah akak dengar bunyi ranting patah. Ingatkan pelepah kelapa patah dan jatuh,” katanya.

Dalam masa sama menurut Basrah, dia turut mendengar bunyi anak lembu peliharaannya berjalan, selain turut mendengar bunyi bising seperti ada yang berjalan di dalam semak.

“Akak ingatkan bunyi bising tu datang dari kucing yang berkeliaran sekitar rumah, jadi akak tak syak apa-apa. Tapi anak lelaki dan perempuan akak tak sedap hati dan minta lampu suluh. Masa mereka suluh lampu keluar rumah, nampak seekor gajah yang agak besar dengan gading yang dianggarkan sepanjang tiga kaki sedang menghala ke ladang sawit di belakang rumah kami.

"Bila nampak gajah tu, takut tak usah cakaplah. Meremang bulu roma dibuatnya. Kami masing-masing berdoa mohon gajah tu tak apa-apakan kami," katanya memberitahu jarak gajah liar itu dengan rumahnya hanyalah sekitar tiga meter.

Keesokan harinya, Basrah melihat sebatang pokok pinang ditumbangkan gajah liar itu hampir menghempap rumahnya selain beberapa rumpun pokok pandan turut dimusnahkan.

“Ini kali pertama rumah akak didatangi gajah liar. Sebelum ini akak hanya dengar bunyi mercun dan bunyi bising halau gajah dari jauh saja. Bimbang juga kalau gajah tu datang lagi ke rumah akak untuk cari makanan,” katanya.


'Mujur sempat tekan brek'

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerantut Feri, Mohd Ramli Jaafar berkata, pada 15 Julai lalu, beliau menerima aduan daripada seorang kawan yang datang ke kampung ini untuk menghadiri rumah terbuka raya di rumah salah seorang penduduk kampung ini.

"Ketika dia dan keluarganya yang menaiki kereta nak balik rumah sekitar jam 12 malam, mereka terserempak seekor gajah liar yang sedang melintas jalan utama kampung itu.

“Jarak antara kereta mereka dengan gajah tu dianggarkan sekitar 50 meter. Mujur mereka sempat menekan brek dan mujur juga gajah itu tak mengapa-apakan mereka,” katanya.

Menurutnya, gajah yang sama juga dikatakan turut merosakkan beberapa batang pokok kelapa sawit dan pokok kelapa penduduk setempat selain turut memusnahkan pagar yang dibina penduduk kampung.

Tambahnya, pihak Jabatan Perhilitan dijangka hadir untuk memantau gajah liar itu.

Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Negeri, Ahmad Azhar Mohammed berkata, pihaknya akan menghantar kakitangannya untuk menjejak dan menangkap gajah liar berkenaan.

“Memandangkan ia cuma seekor dan bukan berkumpulan, jadi kita akan berusaha untuk menjejak dan menangkapnya.

"Kita juga akan memantau dan melihat keadaan kerana jika gajah liar itu lari jauh ke dalam hutan, ia akan menyukarkan kerja-kerja penangkapan,” katanya


0 comments:

share2