Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, June 6, 2017

RM200 JUTA UNTUK BAIK PULIH PROJEK PPR


RM200j untuk baik pulih projek PPR


Sepang - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima permohonan hampir RM200 juta bagi membantu membaik pulih Projek Perumahan Rakyat (PPR) termasuk membina dan membaik pulih dewan komuniti di Selangor.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata daripada jumlah itu sebanyak RM178 juta dipohon bagi membaik pulih lif, mengecat dan bumbung manakala RM20 juta lagi bagi membaik pulih serta membina dewan komuniti.

Menurutnya, perbelanjaan ini diberikan selepas pihaknya menganjurkan program turun padang untuk melihat keperluan rakyat.

"Bantuan diberikan berdasarkan kepada permohonan dari wakil penduduk selepas difahamkan gagal mendapat pembelaan yang sewajarnya dari kerajaan negeri," katanya dalam Sidang Media ke Pangkalan Nelayan Batu Laut sempena Program Jalinan Mesra Ramadan ke Parlimen Sepang.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Halimah Sadique, Ketua Umno Bahagian Sepang, Datuk Marsum Paing dan Adun Dengkil, Shahrum Mohd Sharif.

Dalam lawatannya, berjumpa nelayan Batu Laut, beliau telah meluluskan sebanyak RM250,000 bagi pembinaan Dewan komuniti bagi memudahkan nelayan mengadakan aktiviti di jeti nelayan Batu Laut.

"Saya jangkakan kemudahan itu dapat dibina dan digunakan pada tahun ini.

"Ia sebagai kegunaan nelayan di sini memandangkan tak ada kemudahan sesuai untuk berkumpul mengadakan aktiviti," katanya.


0 comments:

share2