Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, June 18, 2017

[KUANTAN] ALUMNI SHAH BAWA PELAJAR BELI KEPERLUAN RAYA


Alumni SHAH bawa pelajar beli keperluan raya


Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH) Pekan menunjukkan keprihatinan mereka dengan membawa 49 pelajar sekolah itu untuk membeli pakaian raya di Jakel, semalam.

Pengerusi Alumni SHAH, Datuk Remie Arman Musa berkata, alumni mengenal pasti pelajar yang memerlukan antara anak yatim dan asnaf untuk menerima sumbangan pakaian hari raya.

Menurutnya, seramai 103 lagi pelajar di raikan dalam majlis berbuka puasa di sekolah tersebut.

“Ini adalah kali keempat kita buat program sumbangan sempena Hari Raya namun hanya bagi duit raya dan hamper sahaja.

“Namun tahun ini, kita mendapat tajaan alumni dan orang perseorangan membolehkan kita memberi sumbangan pakaian hari raya kepada 49 pelajar terpilih,”katanya ketika ditemui pada Program Shoping Raya di Jakel, semalam.

Remie Arman berkata, sudah tiba masanya alumni menyumbang semula kepada sekolah selepas masing-masing berjaya dalam hidup.

Katanya, buat masa ini, persatuan mempunyai 700 alumni tahun 1990-2016 yang berdaftar dan aktif mengadakan program untuk pelajar SHAH.

“Jika dahulu kita menjadi pelajar , sekarang kita sudah berjaya dan mempunyai kerjaya, apa salahnya berkongsi sedikit rezeki yang ada untuk pelajar kurang mampu.

“Saya gembira apabila alumni sanggup datang dari Kuala Lumpur bagi menjayakan program ini,”katanya.

Penerima sumbangan bergambar kenangan bersama Alumni Shah pada program itu.


Sementara itu, pelajar yang ditemui, Nurul Aisha Yusof, 17, yang juga anak yatim melahirkan rasa syukur dan terharu kerana terpilih menerima sumbangan pakaian raya bernilai rm150.

Anak ke lapan daripada 11 adik-beradik itu berkata, dia gembira kerana mempunyai baju baharu bagi menyambut hari raya tidak lama lagi.

“Sejak ayah meninggal pada 2008, ibu, Norainan Abdul Latif, 51, berniaga kecil-kecilan bagi menyara keluarga.

“Jadi setiap kali raya, saya tidak bersungguh mahu membeli baju baharu kerana tidak mahu menyusahkan mak,”katanya.


0 comments:

share2