Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 8, 2017

[TEMERLOH] SISA INDUSTRI CEMAR SUNGAI


Sisa industri cemar sungai


Pihak berkuasa diminta segera menyiasat pencemaran di kuala Temerloh, dipercayai akibat pembuangan sisa industri yang boleh menjejaskan ternakan ikan sangkar Sungai Pahang.

Pengerusi Koperasi Penternak Ikan Sangkar dan Nelayan Sungai Pahang, Datuk Abu Hanipah Majid berkata, berdasarkan laporan penternak ikan sangkar, air dipercayai dicemari sisa buangan industri mengalir dari hulu ke kuala Temerloh masuk ke Sungai Pahang dan menyebabkan pencemaran di kawasan itu.

Malah katanya, sisa buangan mengalir terus ke kuala Temerloh, memasuki Sungai Pahang dekat Kampung Tanjung Batu itu dibimbangi menjejaskan pengusaha ikan sangkar khususnya mereka yang ada sangkar di bahagian hilir.

“Saya memandang serius perkara ini kerana sekiranya benar berlaku pembuangan sisa daripada pihak tidak bertanggungjawab, ia dibimbangi beri kesan teruk kepada pengusaha ikan sangkar di sini.

“Saya dapat maklumat sisa ini dibuang dari satu kawasan industri tetapi tidak mahu menyebut selagi ia belum dapat dibuktikan dengan ujian makmal.

“Buat masa sekarang saya hanya dedahkan perkara ini supaya pihak bertanggungjawab khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat mengambil sampel air yang tercemar itu seterusnya mengenal pasti punca sebenar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Abu Hanipah berkata, laporan tidak rasmi kepada JAS Temerloh sudah dibuat kelmarin dan difahamkan jabatan itu sudah mengambil tindakan segera menyiasat dan ternyata dakwaan itu ada asasnya.

Beliau berkata, pegawai JAS diharap mengambil sampel air dari kawasan terbabit untuk mengesan puncanya.

“Kita di daerah Temerloh ada ratusan sangkar ikan sangkar khususnya patin dan tilapia yang akan terjejas jika pencemaran seperti ini dibiarkan tanpa tindakan.

“Jika ia tidak memberi kesan jangka pendek pencemaran yang berterusan dibimbangi akan menjejaskan kualiti dan kuantiti ikan yang diternak secara berterusan untuk jangka masa panjang.

“Bahkan sekiranya terbukti air hitam yang mengalir masuk ke Sungai Pahang itu mengandungi bahan kimia atau bahan yang boleh menjejaskan kehidupan sungai, ia juga satu ancaman kepada ikan-ikan di dalam Sungai Pahang,” katanya.


0 comments:

share2