Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 8, 2017

[BENTONG] AYAH HILANG TIGA HARI DITEMUI SELAMAT


Ayah hilang tiga hari ditemui selamat


Seorang anak melahirkan rasa syukur apabila ayahnya yang hilang selama tiga hari selamat ditemui oleh anggota keselamatan dan komuniti setempat di Desa Damai, Bentong di sini, semalam.

Difahamkan, anaknya, Shahrul Azmi Hashim, 43 turut menyertai operasi pencarian dan berjaya menemukan ayahnya,Hashim Musa,76 bersama agensi keselamatan dan orang awam dalam keadaan lemah dan tidak bermaya berhampiran rumah sarang burung kira-kira jam 11.50 pagi.

Shahrul Azmi berkata, ayahnya gagal dikesan oleh dirinya apabila kali terakhir dilihat pada pukul 9 pagi, Jumaat lalu selepas isterinya memaklumkan ketiadaan ayah di biliknya.

"Sebelum ayah saya hilang, saya baru sahaja memberi dia ubat dan dia telah tidur sebelum saya pergi kerja namun tidak lama kemudian saya mendapat panggilan dari isteri saya bahawa ayah saya telah keluar dan tiada di rumah.

"Selalunya apabila ayah saya keluar, dia hanya akan pergi ke kawasan sekitar ataupun ke kedai makan dan selalunya tengahari atau petang dia sudah pulang namun Jumaat lalu dia keluar dan tidak pulang-pulang.

"Sehinggalah saya bersama anggota keselamatan dan komuniti setempat berjaya menemui ayah saya hari ini (semalam) berhampiran rumah sarang burung di Desa Damai,"katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pada itu, Shahrul Azmi berkata, dirinya bersyukur ayahnya itu ditemukan dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan meskipun ditemui dalam keadaan lemah.

"Alhamdulillah, syukur kerana tiada perkara buruk berlaku dan ayah saya ditemui dalam keadaan selamat oleh kami semua dan saya amat berterima kasih kepada anggota keselamatan dan penduduk setempat kerana membantunya mencari ayah saya yang telah hilang selama tiga hari," katanya.

Tambahnya, beliau juga telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis selepas sehari kehilangannya ayahnya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bentong, Mohd. Zulkhairi Adek Awang berkata, pihaknya memulakan operasi menyelamat dengan kerjasama anggota polis, Ahli Jawatankuasa Masjid serta komuniti setempat bagi memudahkan lagi operasi pencarian.

Menurutnya, operasi dimulakan dengan melakukan pencarian di sekitar dan hutan di Desa Damai dan akhirnya kami berjaya menemui warga emas itu pada jam 11.50 pagi.

"Semasa kami semua menemukan ayah Shahrul, kami melihat dirinya berada dalam keadaan yang lemah dan kami percaya dia tidak makan sejak dia keluar daripada rumah.

"Kami terus memberikan bantuan perubatan dan makanan bagi memastikan ayah Shahrul berada dalam keadaan sihat.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah bersama berusaha bersungguh-sungguh bagi mencari ayah Shahrul dan berharap agar budaya ini akan menjadi contoh bahawa kerjasama jika dijalin, pasti akan dapat menyelesaikan sesuatu masalah," katanya.


0 comments:

share2