Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 7, 2017

ASAL NAMA SEORANG PAHLAWAN


Asal nama seorang pahlawan


DERGA berasal dari sebuah perkampungan tradisional yang terletak di tengah Bandaraya Alor Setar.

Nama itu kemudiannya dijadikan sebuah mukim yang terdapat 24 kampung pada masa itu dan dikenali sebagi Mukim Derga.

Mukim Derga terletak di bawah Parlimen Pokok Sena tetapi di bawah pentadbiran Kota Setar dan kepadatan penduduknya, kawasan Derga kini dinaiktarafkan hingga membentuk Dun Derga pada PRU yang lalu.

Menurut sumber, Derga dahulunya merupakan sebuah perkampungan pondok agama yang terkenal di Alor Setar dan dibuka oleh seorang ulama terkenal dari Yala, Siam.

Beliau ialah Wan Mohd Idris Wan Jamal atau lebih dikenali dengan nama Sheikh Al Jarumi.


Azizan (kiri) dan Yahya dengan telaga semasa wujudnya pondok agama di Derga


Pondok itu merupakan pusat pengajian yang terkenal pada masa itu, malah pelajarnya bukan sahaja dari kawasan sekitar tetapi juga dari luar Kedah.

Difahamkan terdapat kira-kira 200 keluarga mendiami di kawasan itu yang kini merupakan Masjid Derga.

Bagaimanapun pondok itu dikatakan terbakar gara-gara penduduknya membakar ikan terubuk hingga menyebabkan hampir keseluruhan pondok itu terbakar.

Bagaimanapun pada hari ini hanya wujud perkampungan tradisional sahaja di kawasan itu .

Yahya Saad, 69, dari Kampung Tanjung Seri berkata, Derga adalah seorang pahlawan dari Pattani yang datang untuk bantu Kesultanan Melayu Kedah ke-19, Sultan Mohammad Jiwa Zainol Abidin dari diserang oleh tentera Bugis dari Selangor diketuai oleh Raja Ali Haji pada masa itu.

Menurutnya, semasa peperangan berlaku sekitar 1770 hingga 1771, ramai pahlawan Kesultanan Melayu Kedah terkorban dan terpaksa melarikan diri kerana bimbang keselamatan mereka selepas tentera Bugis berjaya menawan tentera Kedah.

“Bagaimanapun tiada maklumat yang pasti bagaimana Derga telah meninggal dunia tetapi jasadnya itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Masjid Al Irfan atau lebih dikenali dengan nama Masjid Derga,” katanya.

Bagi Azizan Hashim,62, pula berkata, kedudukan Mukim Derga yang terletak di tengah Bandaraya Alor Setar menyebabkan pembangunan semakin pesat dan ini menjadi rahmat kepada penduduk di daerah itu.

Masjid Derga merupakan mercu tanda di daerah Mukim Derga


Katanya, walaupun Mukim Derga itu bukanlah daerah yang besar tetapi ia mempunyai mercu tandanya sendiri hingga terkenal di seluruh Malaysia.

"Antaranya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma (SAS) yang melahirkan ramai cendekiawan dan pancaragam sekolah bertaraf antarabangsa.

"Sekolah Berprestasi Tinggi itu melahirkan ramai pelajarnya menjadi pemimpin serta golongan profesional dan sebut sahaja SAS, ia begitu sinonim dengan nama Derga sejak dahulu sehinggalah sekarang," katanya.

Kedudukan Mukim Derga di tengah Bandaraya Alor Setar menyebabkan pembangunan terutamanya kediaman kian bertambah hingga banyak kawasan itu sudah diteroka dan kini dipenuhi dengan kawasan perumahan penduduk.

Menurut Azizan, Derga juga terkenal dengan mi rebusnya yang sudah wujud sejak 1970-an lagi. Ramai dari pelanggan yang datang untuk menjamu selera bukan sahaja terdiri penduduk di sekitar Alor Setar tetapi datang dari luar Kedah.

“Bagi pelancong luar yang datang ke Alor Setar terutamanya di Derga sudah pasti akan singgah di sini kerana seperti tidak lengkap kunjungan mereka jika tidak pekena mi rebus Derga itu,” katanya.


0 comments:

share2