Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 19, 2017

USAHAWAN BUMIPUTERA KURANG CEBURI EKSPORT


Matrade


Hanya segelintir atau 10.13 peratus daripada 5,797 usahawan Bumiputera yang berdaftar dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), menceburi bidang eksport.

Sambil menyifatkan jumlah itu amat kecil, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Sharimahton Mat Salleh berkata, peratusan itu perlu ditingkatkan untuk menggalakkan pertumbuhan eksport negara pada tahun ini.

“Usahawan perlu lebih berdaya saing dan memajukan perniagaan dengan memasarkan produk ke luar negara.

“Kita juga menggalakkan usahawan Bumiputera merebut peluang melalui usaha dan program yang disediakan oleh pelbagai agensi termasuk Matrade,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ‘Meningkatkan Penglibatan Bumiputera Dalam Eksport’ bersempena Pameran Memacu Agenda Bumiputera 2017 anjuran Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, peluang untuk berniaga secara global kini amat besar berikutan terdapat platform digital dan perjanjian perdagangan bebas yang dimeterai dapat meluaskan akses syarikat tempatan ke serata dunia.

“Negara memerlukan lebih ramai pengeksport dalam kalangan Bumiputera untuk meningkatkan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana dalam eksport daripada 17.8 peratus kepada 23 peratus menjelang 2020,” katanya.

Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan dan Keusahawanan Teraju, Megat Mohd Yatim berkata, bantuan daripada kerajaan perlu dilihat sebagai batu loncatan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing.

“Kita perlu mengubah cara Bumiputera berfikir, bekerja dan bertindak.

“Secara keseluruhannya, terdapat ramai usahawan yang mempunyai kebolehan dan berpotensi untuk berkembang di dalam dan luar negara,” katanya.


0 comments:

share2