Tidak hujan, tidak ribut, tidak fasal-fasal saya menerima satu berita baik. Ada bungkusan berisi barangan berharga kiriman Fiona Smith dari Brisbane, Australia.
“Sila nyatakan nombor kad pengenalan dan alamat anda untuk kami uruskan penghantaran bungkusan tersebut,” kata Richard Ortega menerusi emel, pagi semalam.
Dia menambah: “Sila beri tempoh lima hari kerja untuk bungkusan itu dihantar terus ke rumah anda.”
Saya tidak kenal Fiona, tidak juga saya tahu siapakah gerangan Richard. Apakah barangan berharga dalam bungkusan itu? Emas? Berlian? Atau, mungkinkah beg tangan jenama terkenal yang harganya berpuluh ribu RM?
Tidak kira betapa berharga barangan itu, saya mengabaikan @ delete emel tersebut. Tidak masuk akal langsung si fulan entah dari planet mana yang tidak pernah saya kenali hendak memberi habuan untuk saya.
Saya, dan mungkin ramai lagi, masih boleh berfikir dan menangkis emel seperti itu. Tetapi, ada beribu-ribu lagi di luar sana tidak dapat berfikir, dan terus melenting hingga ke siling gara-gara terlalu gembira menerima kiriman keemasan itu.
Hati-hati apabila menerima emel misteri seperti itu. Anda mungkin menjadi mangsa sekian banyak penipuan di internet, terutama apa yang dipanggil sebagai African Scam.
Walaupun telah berulang kali diberi amaran oleh polis, dan diingatkan menerusi media, orang kita masih tidak serik – degil! – dan terus merelakan diri masuk ke perangkap sindiket African Scam.
Kita tidak jemu-jemu ditipu, pada hal rekod polis menunjukkan sindiket maya ini telah banyak menghabiskan duit mangsa. Tahun lalu jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa di seluruh negara ialah RM100.9 juta. Ulang sekali lagi: lebih RM seratus juta!
Dan, seperti yang diberitahu oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, setakat Februari tahun ini sahaja 108 orang lagi telah menjadi mangsa sindiket ini dengan jumlah nilai penipuan RM21.6 juta.
Memang, dalam tempoh tersebut polis berjaya mengesan dan menahan 20 individu yang dipercayai terlibat dengan kegiatan tersebut. Tetapi ramai lagi anggota sindiket yang tidak dapat dikesan, dan terus mencari mangsa setiap saat.
Parcel scam atau bungkusan pos memang satu muslihat yang mudah menjerat mangsa. Si penyangak akan memujuk mangsa menerusi media sosial, menabur kata-kata manis, sehingga berjaya menjalin cinta di alam maya.
Setelah mangsa dilanda keasyikan asmaradana, penyangak akan mengumpan dengan kononnya menghantar bungkusan @ parcel sebagai bukti cinta. Pada peringkat ini dia akan meminta sejumlah wang untuk urusan penghantaran, dokumen kastam, bayaran insurans, dan cukai sekian-sekian.
Atas dorongan cinta, almaklumlah menerusi pujuk rayu dan madah yang aduhai-aduhai, mangsa dengan seribu kerelaan akan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank si Romeo. Sekali dapat, rayu lagi, minta lagi. Dan dapat lagi!
Maka, tanpa disedari si pemabuk cinta akan dari semasa ke semasa memasukkan wang ke dalam akaun kekasih, sehingga akhirnya pokai. Wang habis tetapi bungkusan tidak kunjung tiba, baru disedari telah ditipu oleh sindiket Pak Hitam di alam maya.
Seperti yang dijelaskan polis, taktik paling popular lagi berkesan ialah menerusi love scam, atau percintaan di talian maya. Menerusi media sosial, si penyangak – menggunakan nama-nama hebat dan gambar macho – akan berkenalan dengan mangsa, biasanya wanita atau gadis tidak berteman.
Dengan kata-kata manis dan pujuk rayu yang menitiskan air liur, mat macho berjaya menawan perasaan mangsa, dan berjanji untuk datang ke Malaysia, menemui mangsa untuk berkahwin.
Apabila tiba di negara ini si macho dikatakan telah ditahan pihak berkuasa, dan sama ada dia atau rakan sindiket akan menghubungi mangsa, meminta sejumlah wang untuk kononnya membebaskan diri dari tahanan. Kekasih pujaan ditahan, apa sahaja akan dilakukan untuk pembebasannya. Lagi pun bukan senang hendak dapat mat salih tampan lagi menawan...
Pada hal kekasih pujaan itu mungkin tidak setampan seperti gambar dalam media sosial. Apa yang dipaparkan di alam maya itu adalah gambar palsu. Tetapi apabila terkena sengatan cinta, yang palsu pun dipuja pagi-petang, siang-malam. Banyak wang habis hanya untuk membeli sebuah cinta palsu.
Pendek kata tidak kira siapa, lebih-lebih lagi wanita, perlu sentiasa waspada ketika menekan nombor dan huruf pada gajet di tangan. Jangan mudah terpedaya dengan apa yang dilihat dan dibaca di media sosial.
Selalu ingat, di alam maya yang tanpa sempadan itu ada seribu satu macam kepalsuan. Gambar palsu, pujukan palsu, janji palsu, cinta palsu. Hatta, sekiranya tidak berhati-hati urusan jual-beli pun palsu. Banyak yang sudah terkena!
0 comments:
Post a Comment