Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 8, 2017

[RAUB] JANGAN POLITIKKAN HARGA MINYAK

Jangan politikkan harga minyak



Parti-parti politik khususnya pembangkang diminta tidak mempolitikkan kaedah pengapungan terkawal secara mingguan dilaksanakan kerajaan ke atas senarai harga minyak di negara ini sejak dua minggu lalu.

Exco Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan Negeri Pahang, Datuk Seri Shahiruddin AB Moin berkata, langkah kerajaan mengapungkan senarai harga mingguan ke atas minyak petrol di seluruh negara telah dikaji dan diperhalusi sebelum dilaksanakan.

Menurutnya, kaedah itu boleh dikatakan memberikan manfaat besar kepada pengguna dan pengusaha stesen minyak kerana harga akan berubah setiap minggu, berbanding dahulu jika harganya ditetapkan, ia akan berterusan sehingga sebulan.

“Umpamanya, kalau dulu harga petrol RM2.20 satu liter ia akan berterusan sehingga sebulan tetapi dengan harga pengapungan secara mingguan itu ia akan berubah dan kadangkala naik dan turun

“Bagi minggu ini kenaikan harga runcit petrol RON97 naik 2 sen iaitu RM2.43 seliter dan naik 3 sen kepada RM 2.16 seliter untuk RON95 manakala harga diesel pula turun 3 sen kepada RM2.80 seliter,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agong Unit Peladang Desa Temelian di Kampung Pamah Kulat, Dong di sini semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Raub, Datuk Hamdan Hussein.

Shahiruddin berkata, pembangkang tidak seharusnya menjadikan harga minyak itu sebagai satu isu sempena pilihan raya kerana untuk memproses minyak memerlukan peruntukan besar dan bukan mudah bagi negara untuk memproses bahan galian itu

“Memang diakui negara salah satu pengeluar minyak petrol dan gas di dunia tetapi minyak dikeluarkan dari perut bumi bukan boleh terus dijual ke tangki kereta sebaliknya ia perlu sulingan serta memproses terlebih dahulu sebelum ia dijual dan digunakan oleh pengguna,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Mohd Farouk Hamzah, 33, berkata pengapungan harga minyak secara mingguan itu memang berfaedah kerana ia terbukti memberi manfaat kepada pengguna selain kita dapat mengetahui perubahan harga minyak setiap minggu.

“Langkah ini sepatutnya dilaksanakan sejak dari dahulu lagi tetapi ia masih belum terlambat,” katanya.

Idris Abdul Talib, 35, pula berkata, harga minyak di negara ini jika dibandingan dengan negara luar adalah jauh lebih murah daripada negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, dan beberapa negara lain.




0 comments:

share2