Jika ditanya generasi muda, pasti ramai tidak dapat meneka apakah itu Terenang. Ramai yang tidak tahu, sehinggakan ada yang menyangka Terenang adalah nama sebuah tempat.
Hakikatnya, Terenang atau turut dikenali sebagai Tembikar Tembeling adalah sejenis kraftangan tanah liat yang dijadikan bekas meletak dan menyimpan air penduduk zaman dahulu.
Terenang bagi daerah ini dikatakan berasal dari Kampung Pasir Durian, Kuala Tembeling yang terletak kira-kira satu jam perjalanan menuju ke bandar Jerantut di mana tradisi pembuatannya kini semakin dilupakan generasi baharu.
Namun bagi Mohamad Zakaria, 48, kesungguhannya mempelajari seni pembuatan Terenang dari ‘orang lama’ Kampung Pasir Durian membolehkan kraftangan itu dipertontonkan sehingga kini.
Bermula dengan mengusahakan hasil kraftangan itu yang dipelajarinya sejak berusia 18 tahun di Kampung Pasir Durian, Mohamad kemudiannya mengambil keputusan berpindah ke Kampung Temin dan mengusahakannya bersama seorang lagi pengusaha kraftangan tanah liat, Zanal Idris, 51, di bawah syarikat Temin Kraf Enterprise.
Katanya, keputusannya berpindah ke Kampung Temin berikutan seni pembuatan Terenang dan kraftangan tanah liat semakin kurang mendapat sambutan sejak jalan utama pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan dibuka menggantikan Jeti Kuala Tembeling yang suatu ketika dahulu merupakan pintu masuk utama ke pusat pelancongan terkemuka dunia.
Malah katanya, setiap corak yang diukir menggunakan alat diperbuat dari batu dan kayu selain bahan terbuang seperti penutup bekas ubat gigi dan pensel yang mempunyai nama dan maksud tersendiri.
“Jika orang terdahulu, mereka tahu tentang cerita di sebalik corak-corak Terenang ini. Saya tak tahu sangat maksudnya, tapi sedikit sebanyak saya tahu nama corak-corak yang diukir pada Terenang ini. Antara nama-nama corak ukiran yang saya tahu ialah ukiran kelopak, ukiran tapak pelanduk, sambar atau semalu, tapak itik, dan tampok manggis,” katanya.
“Kalau orang dulu, pembuatannya lebih teliti. Mereka juga ada pantang larang termasuklah ketika hendak mengambil tanah liat bagi dijadikan tembikar.
“Dulu dikatakan ada hari-hari tertentu sahaja untuk mengambil tanah liat di sungai selain tidak dibenarkan buang angin ketika mengambil tanah liat kerana bimbang tembikar yang dibakar akan pecah. Namun, sekarang pantang larang itu sudah tidak diikuti,” katanya.
Corak telah dimodenkan
Mohamad yang turut mempelajari seni pembuatan tanah liat di Jepun yang dihantar oleh pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah menggabungkan seni pembuatan Terenang tradisional dengan moden.
“Saya mempelajari cara pembuatan Terenang dari pelbagai pihak termasuk di Jepun dan sekarang pembuatan Terenang lebih senang dengan adanya acuan. Tambahan pula ada antara corak yang telah dimodenkan. Saya juga hasilkan Terenang kecil untuk dijual sebagai cenderahati dan ia juga mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.
Di samping memodenkan seni pembuatan Terenang, Mohamad dan rakan kongsinya, Zainal, akan terus memastikan seni asal pembuatan Terenang terus terpelihara.
Simpan Terenang usia hampir 100 tahun
Zainal dalam pada itu turut menyimpan sebuah Terenang berusia anggaran sekitar lebih 100 tahun sebagai rujukan dan pameran buat pengunjung yang datang ke bengkelnya.
Katanya, Terenang berusia lebih 100 tahun itu diperoleh dari orang terdahulu yang membuat Terenang di Kamlung Pasir Durian dan usianya diukur berdasarkan tompokan lilin yang terdapat dalam kraftangan itu selain pembuatannya yang lebih halus dan tahan lama.
“Menurut cerita yang saya dapat, dalam perubatan tradisional dulu, Terenang digunakan untuk lihat sama ada orang terbabit hidap penyakit berbahaya atau tak. Dikatakan jika Terenang digunakan untuk berubat itu pecah, kemungkinan nyawa pesakit tak panjang. Tapi, ia cumalah cerita yang saya dengar, tak dapat dipastikan kesahihannya,” katanya.
Menurutnya, bengkelnya kini sering menerima kunjungan pelajar sekolah di daerah ini yang teruja mempelajari seni pembuatan tanah liat.
“Kami pernah menerima kunjungan pelancong luar negara yang teruja mempelajari pembuatan tembikar ini. Lebih seronok apabila kami turut menerima tempahan dari Yang Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menempah Terenang untuk dijadikan cenderahati,” katanya.
Zainal dalam pada itu melahirkan perasaan sedih apabila seni pembuatan Terenang masih tidak dapat menarik minat bukan sahaja penduduk sekitar, malah generasi baharu.
Malah katanya, ia tidak lagi diwarisi sehinggakan Temin Kraf Enterprise menjadi satu-satunya syarikat kraftangan tanah liat yang menghasilkan Terenang.
Kluster Warisan Pahang kaji sejarah Pahang
Pihak Universiti Malaysia Pahang semalam hadir ke Bengkel Temin Kraf bagi melakukan kajian ke atas kraftangan Terenang.
Pensyarah Pusat Bahasa Moden dan, Sains Kemanusiaan, Dr Hasnah Hussain berkata, UMP menubuhkan satu kluster dikenali sebagai Warisan Pahang yang bertanggungjawab mengkaji sejarah warisan negeri Pahang.
“Kita sudah ada tujuh kajian berkaitan Warisan Pahang. Terenang adalah salah satu daripada kajian, di mana satu seminar berkaitannya akan diadakan sekitar Ogos bagi mengangkat kembali seni Terenang ke peringkat antarabangsa,” katanya.
0 comments:
Post a Comment