Meskipun sudah dua tahun berlalu, namun harapan pasangan suami isteri untuk mendapatkan sebuah rumah lebih sempurna demi keselesaan anak Orang Kurang Upaya (OKU) mereka masih belum kesampaian.
Ab Halim Ismail, 65, berkata, rumah mereka di Kampung Chengkuak di sini hanya 80 peratus siap dan selebihnya masih terbengkalai.
Katanya, rumah itu dimohon atas nama salah seorang anaknya melalui Skim Pinjaman Perumahan untuk Golongan Berpendapatan Rendah memandangkan usianya kini tidak membolehkannya mendapatkan pinjaman rumah terbabit.
Katanya, jumlah pinjaman yang diterima RM45,000 dan RM27,000 difahamkan digunakan pihak kontraktor untuk membina rumah berkenaan.
“Pembinaan rumah ini bermula Ogos 2015 sehinggalah 80 peratus telah pun siap. Tapi, yang lebihnya masih belum siap. Terbengkalai je macam tu sampailah beberapa bahagian dinding retak,” katanya.
Dia terkilan apabila berhasrat untuk menyediakan rumah yang lebih selesa untuk anaknya, Maizatulakmar Ab Halim, 22, yang turut menghidap kanser payudara belum terlaksana.
Menurutnya, masalah itu pernah diadukan kepada pihak bertanggungjawab, namun gagal diselesaikan sebaliknya segala dokumen berkaitan diserahkan kembali kepadanya.
“Mereka seolah-olah dah berlepas tangan. Kesemua dokumen yang diserahkan untuk urusan bina rumah pun dah dipulangkan balik. Kalau saya nak siapkan rumah ni, saya kena lantik kontraktor baru dan kena tambah wang lagi,” katanya kesal.
Jelasnya, dia dimaklumkan baki pinjaman yang boleh dituntut hanya RM13,000 di mana dia perlu menambah RM13,000 lagi untuk menyiapkan rumah terbabit.
Katanya, dia yang bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu itu tidak mampu untuk mendapatkan wang tambahan bagi membina rumah terbabit.
Sementara isterinya, Maimunah Waria, 60, pula berkata, mereka sudah buntu memikirkan jalan untuk menyelesaikan masalah rumah terbabit dan tidak mahu menyusahkan anak-anaknya yang lain memandangkan mereka masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri.
Maizatulakmar yang merupakan anak bongsu dari 10 beradik itu juga memerlukan wang untuk rawatan bulanan selain perlu berulang-alik ke hospital Jerantut dan Temerloh untuk bertemu pakar, Maizatulakmar turut bergantung kepada susu khas berharga RM73.
“Selain susu yang dapat tahan untuk sebulan, anak saya juga kena guna lampin pakai buang, Belanja untuk itu je sekurang-kurangnya RM200 sebulan. Tapi, alhamdulillah sebab anak saya dapat bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) selain bantuan dihulurkan melalui persatuan atau individu yang datang melihat anak saya.
"Tapi, kesemuanya tu hanya untuk belanja harian dia saja. Saya tak tahu macam mana kami nak dapatkan duit untuk siapkan rumah ni," keluhnya.
Tambahnya, dia difahamkan oleh pihak berwajib bahawa mereka tidak akan dapat memperoleh geran sehingga bayaran ke atas pinjaman dilangsaikan.
“Kami difahamkan, dalam bila-bila masa je surat akan sampai dan pinjaman wang perlu dibayar semula. Tapi rumah kami ni tak tahu bila akan siap,” katanya.
Maimunah berharap rumah dilengkapi tiga buah bilik itu dapat disiapkan segera agar Maizatulakmar dapat duduk di tempat yang lebih selesa berbanding rumah mereka kini yang sudah uzur.
“Rumah sekarang bukan je dah uzur, atap pun dah banyak bocor. Saya harap ada pihak yang sudi tolong ringankan beban kami. Dapat tampung kos tambahan sambung bina rumah ini pun dah memadai,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyampaikan sumbangan untuk Ab Halim menyiapkan rumahnya itu boleh menghubunginya di talian 011-29258869.
Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Damak, Fadzlly Ismail berkata, pihaknya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan bersama dengan pihak pimpinan setempat bagi membolehkan keluarga itu mendapatkan wang bantuan tambahan bagi menampung kos perbelanjaan bina rumah baharu mereka.
“Kami difahamkan oleh pihak berkenaan bahawa pinjaman masih boleh diteruskan namun mereka perlu mencari kontraktor baharu yang dilantik sendiri dan ia perlukan kos yang lebih tinggi.," katanya.
0 comments:
Post a Comment