Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 17, 2017

'DULU KAMI MAIN BOLA PAKAI KASUT SEKOLAH JE'


Datuk Santokh Singh


Apabila kelibatnya beraksi di atas padang, pasti menimbulkan perasaan gerun kepada pemain lawan, terutama sekali penyerang.

Mana tidaknya, susuk tubuhnya yang sasa membuatkan lawan merasa sukar untuk menembusi pertahanan yang dikawal rapi.

Beliau ialah legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh yang sememangnya tidak perlu diperkenalkan kepada rakyat Malaysia.

Kelibatnya sentiasa dinantikan peminat bola sepak tempatan, terutama sekali peminat Selangor yang semestinya mahukan beliau beraksi bagi memastikan gawang pasukan bola sepak mereka tidak ditembusi.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam arena bola sepak, padang bola sepak di Kampung Baru Ayer Panas, Kuala Lumpur, menjadi medan pertamanya mengasah skil dalam sukan yang dicintainya.

Santokh berkata, beliau akan memastikan dirinya berada di padang setiap petang untuk bermain bola sepak bersama rakan-rakan.

“Saya main dengan kawan pelbagai bangsa dan waktu main, kita tidak pernah diskriminasi sesama sendiri. Tidak ada masalah untuk kita main campur-campur dalam satu pasukan.

“Dulu, kami main pakai kasut sekolah sahaja sebab nak beli but agak mahal. Walaupun harga but dulu RM19, tapi bagi kami orang dulu-dulu, harga tersebut agak mahal,” katanya.

Legenda yang kini berusia 65 tahun berkata, posisi tengah merupakan kedudukan disukainya memandangkan beliau sangat meminati legenda bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer.

Namun, bekas jurulatih kebangsaan, Datuk M Kuppan melihat bakat Santokh lebih ideal sebagai pertahanan.

“Sebagai pemain, saya perlu akur dengan kehendak jurulatih dan keputusan yang dibuat oleh M Kuppan ada asasnya. Jadi, saya terus bermain posisi itu,” katanya.

1Malaysia main bola

Menceritakan suasana arena bola sepak ketika itu, jelas Santokh, kepelbagaian bangsa dan warna kulit bukanlah isu besar dalam sukan nombor satu Malaysia.

Bahkan semasa latihan, para pemain menggunakan bahasa masing-masing ketika mengusik rakan-rakan walaupun kawan mereka tidak memahami apa yang diperkatakan.

“Misalnya, selepas saya bercakap dalam bahasa Punjabi, saya akan beritahu apa maksud perkataan yang saya cakapkan itu. Ini salah satu cara untuk masing-masing kenal rapat.





“Tapi dalam perlawanan sebenar, kami akan berkomunikasi dalam bahasa Malaysia dan Inggeris supaya masing-masing faham arahan diberikan,” selorohnya.

Apa yang lebih menarik, semasa menghadiri kem latihan pusat pasukan kebangsaan, kesemua pemain akan tinggal sebilik di dalam asrama yang ditempatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Walaupun tinggal bersama rakan-rakan berbeza agama, katanya, semua pemain tidak mengalami masalah untuk tinggal sebumbung.

“Kami amat hormati sesama sendiri dan tidak akan buat perkara tidak menyenangkan masing-masing. Bagi pemain Muslim, mereka akan solat di bilik khas disediakan pengurusan.

“Kami akan diam setiap kali azan berkumandang apabila melihat rakan kami bersolat. Lepas solat, kami akan sambung borak semula,” katanya.

Laungan pelbagai kaum di stadium

Selain bermain bola, 1Malaysia turut wujud di stadium sebagai sokongan moral kepada pasukan kesayangan masing-masing untuk mencatatkan kemenangan ketika zaman kegemilangannya.

Beliau berkata, hal itu boleh diperhatikan setiap kali turun beraksi dalam sesebuah perlawanan, baik di peringkat tempatan atau antarabangsa.

“Hati amat gembira apabila melihat 1Malaysia memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.

“Ini juga beri semangat bukan sahaja kepada saya, malah kepada pemain lain,” katanya bersemangat.

Tetapi kini, situasi itu berubah apabila jumlah penonton berkurangan berbanding arena bola sepak 80-an.





Namun, anak jati Setapak itu masih bersangka baik bahawa situasi tersebut berlaku disebabkan beberapa stesen tempatan menyiarkan perlawanan secara langsung.

“Jangan putus asa dalam sokongan kepada pasukan kesayangan kita. Mana tahu, nama Malaysia mungkin kembali gah di persada antarabangsa,” katanya.

Perpaduan utuh

Melupakan seketika topik bola sepak, Santokh melihat hubungan sesama kaum di negara ini masih utuh.

Santokh mengakui masih melihat orang Cina, India, Melayu dan kaum lain boleh bersembang di mana-mana tempat yang ditujuinya.

“Walaupun saya dan rakan lain dah lama bersara, kami masih berhubung.

“Sebelum awak datang tadi, ada seorang rakan seperjuangan telefon tanya khabar. Ini bukti perpaduan kaum di Malaysia tidak pernah renggang,” katanya.


0 comments:

share2