Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 5, 2017

CUBA ALIH PERHATIAN RAKYAT RUSIA

Cubaan alih perhatian rakyat Rusia



MOSCOW - RUSIA. Selama beberapa tahun pada 1990-an dan sekitar 2000, Rusia telah dilanda serangan ganas dengan menyasarkan pengangkutan awam seperti kereta api, pesawat dan stesen kereta api bawah tanah dengan jumlah kekerapan yang membimbangkan.

Sejak campur tangan ketenteraan di Syria yang berpihak kepada rejim pemerintahan Presiden Bashar al-Assad pada September 2015, terdapat sejumlah video propaganda dihasilkan kumpulan militan Daesh berikrar untuk membalas dendam terhadap Putin dan rakyat di Moscow.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas insiden letupan di stesen Metro di St Petersburg, beberapa rangkaian media arus perdana Barat mendakwa serangan yang meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa manakala 50 lagi cedera itu mungkin sebahagian daripada rancangan untuk mengalihkan perhatian rakyat Rusia terhadap protes antikerajaan yang melanda negara itu sejak minggu lalu.

Wakil BBC di Moscow, Sarah Rainsford melihat kejadian itu sebagai konspirasi false flag selepas gelombang protes antirasuah bermula di seluruh bandar utama pada 26 Mac lalu.

"Ribuan golongan belia menentang kerajaan Presiden Vladimir Putin dan skandal rasuah yang menghimpit Perdana Menteri, Dmitry Medvedev hingga membawa kepada penangkapan ratusan penunjuk perasaan dan pemimpin pembangkang, Alexei Navalny. 

"Ia mungkin cubaan untuk mengelakkan siasatan dan menolak desakan supaya Putin meletak jawatan," katanya.

Sementara itu, editor diplomatik, Dominic Waghorn turut membuat kesimpulan, letupan tersebut mungkin akan dijadikan sebagai alasan untuk mewajarkan sekatan ke atas kumpulan protes antikerajaan tersebut. 

Dalam satu kenyataan lain, editor pengurusan The Moscow Times, Oliver Carroll turut sependapat dengan teori konspirasi sama.

"Terdapat banyak teori dan sudah tentu ia adalah tentang teori konspirasi. Seperti yang kita ketahui, pengeboman pada 1999 adalah bertepatan dengan kebangkitan Putin dan percubaan untuk menjadi presiden hingga mencetuskan kebimbangan serta syak wasangka," jelasnya.

Pengkritik lantang Putin dan Pengerusi Yayasan Hak Asasi Manusia, Garry Kasparov menerusi akaun Twitter turut melihat kejadian letupan di St Petersburg sebagai masa yang sesuai untuk agenda politik pemimpin tersebut.

Kasparov secara sinis turut menggesa orang ramai supaya tidak keliru melahirkan 'simpati' kepada rejim Putin. 

Alasan untuk ketatkan kawalan

Insiden letupan yang berlaku di dalam dua gerabak kereta api bawah tanah tersebut didakwa bakal mendorong kerajaan Rusia untuk mengetatkan kawalan terhadap populasi penduduknya.

Hasil siasatan awal mendapati letupan itu berpunca daripada bahan letupan yang disembunyikan di dalam sebuah beg bimbit dan diletakkan di bawah tempat duduk penumpang.

Pihak berkuasa mendakwa bahan letupan itu telah diubah suai. 

"Masih tidak jelas siapa yang bertanggungjawab dan ia tidak semestinya akan menghentikan cubaan Kremlin untuk mengenakan sekatan selepas kejadian itu," kata Prof Madya, Aurel Braun di Pusat Kajian Rusia dan Eurasia di Universiti Harvard.

"Satu persoalan utama di sini adalah bukan hanya dalang serangan tetapi tindak balas seterusnya. Setiap kali berlaku serangan tidak kira puncanya, pentadbiran Putin pasti akan mengambil kesempatan politik.

"Mereka akan memastikan untuk menggunakan kuasa sebagai kerajaan. Putin akan muncul dengan kuasa dan kedudukannya diperluaskan, yang mana beliau dilihat sebagai pemimpin yang kuat, yang dapat 'menjaga' rakyatnya," katanya.

Jelasnya, Putin mungkin akan menggunakan insiden pengeboman itu untuk memperluaskan operasi pemantauan ke atas orang awam atau menyekat demonstrasi awam.

"Lagipun, undang-undang Rusia sendiri telah membenarkan sekatan atau larangan ke atas tunjuk perasaan. Mereka boleh menggunakan alasan protes antikerajaan kononnya sebagai punca kepada tindakan sekatan seumpama itu. Kerajaan Putin boleh memanipulasi perkara itu untuk kepentingan mereka," ujarnya. 

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.




0 comments:

share2