Kuala Lumpur - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Khairul Anuar Baharum atau 'Ah Chong' bagi membantu siasatan kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.
SPRM dalam satu kenyataan berkata Ah Chong dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung tiga pemain pasukan Malaysian Indian Sports Council-Malaysia Indian Football Association (MISC-MIFA) yang ditahan kerana menerima rasuah baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, Ah Chong yang pernah bermain untuk pasukan bola sepak Selangor dan Negeri Sembilan diminta hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu melengkapkan siasatan kes tersebut.
"Jika gagal berbuat demikian, tindakan yang sewajarnya akan diambil terhadap Ah Chong mengikut peruntukan undang-undang yang ada," kata kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Ah Chong diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penguasa Mohd Fadzli Alias di talian 03-88867000 atau 018-2744533.
Pada 6 April lalu, SPRM menahan tiga pemain MISC-MIFA termasuk seorang pemain import kerana dipercayai mengambil rasuah daripada bookie, diikuti dengan penahanan seorang pekerja kedai besi buruk dipercayai sebagai bookie yang menawarkan sejumlah wang dengan nilai ribuan ringgit kepada pemain kelab MISC-MIFA untuk menentukan perlawanan.
Kesemua suspek itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa kepada hukuman denda lima kali ganda nilai suapan dan penjara 20 tahun.
0 comments:
Post a Comment