Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 17, 2017

AADK BERSIHKAN PORT DADAH


AADK bersihkan port dadah


Sungai Petani - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda menjalankan program pembersihan ‘My Beautiful Malaysia’ di Taman Seri Aman Bedong bagi menghapuskan rumah kosong yang dijadikan port penagihan dadah.

Ketua Pegawai AADK, Shamshuri Yussof berkata, program kali ini bertumpu di kawasan rumah tidak berpenghuni yang menjadi sarang penagih dadah di taman perumahan berkenaan.

“AADK smerobohkan sebanyak dua sarang penagihan dadah melalui pendekatan gotong-royong bersama komuniti setempat.

“Penglibatan komuniti sangat penting dalam membanteras penyalahgunaan dadah selain mengelak penagih kembali bersarang di tempat itu,” katanya, dalam kenyataan media, baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan merobohkan sarang penagih dilakukan dengan kerjasama 100 peserta termasuk pekerja Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Swcorp), Idaman Environment, Ahli Skuad AADK Kuala Muda dan penduduk secara bergotong-royong.

“Program gotong-royong atau ‘My Beautiful Malaysia’ dilaksanakan untuk melahirkan semangat kesukarelawan dalam masyarakat dan membasmi masalah dadah di kawasan komuniti.

“Usaha ini perlu dilakukan kerana ia bukan sahaja dapat mengurangkan masalah sosial kalangan anak muda, sekali gus membantu mencegah kegiatan jenayah lain,” katanya.

Program yang disempurnakan Penyelaras Dun Gurun, Datuk Boey Chin Gan itu turut dimeriahkan dengan ceramah, sesi dialog bersama komuniti serta taklimat berkaitan fungsi dan peranan AADK.

Dalam ucapannya, Chin Gan berterima kasih kepada semua pihak terlibat yang menjayakan program itu.

Beliau turut memuji Idaman Environment yang bertungkus lumus menjalankan aktiviti pembersihan di semua kawasan Daerah Kuala Muda.

“Saya harap masyarakat tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah kerana kesannya amat negatif sama ada kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara,” katanya.


0 comments:

share2