Melaka Tengah - Seorang pembantu restoran lelaki ditemui mati berlumuran darah pada badan dipercayai dibunuh di sebuah rumah kedai di Taman Kerjasama, Bukit Beruang di sini, hari ini.
Lelaki berusia 21 tahun itu ditemui dalam keadaan terlentang oleh individu dipercayai majikan di bahagian dapur dalam rumah sewa di tingkat atas bangunan berkenaan dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi.
Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, polis menerima maklumat kemudian ke lokasi pada jam 6.30 pagi dan melihat satu lelaki tidak bernyawa serta mempunyai kecederaan pada badan.
"Selain lantai mempunyai kesan darah, polis menemui sebilah senjata tajam juga mempunyai kesan darah dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian di dalam rumah yang turut disewa lebih seorang rakan sekerja dipercayai warga asing.
"Susulan kejadian, kita menahan dua lelaki warga asing berusia 20-an dalam jarak 1 ke 2 kilometer kira-kira jam 10.30 pagi bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Menurut Shaikh Abdul Adzis, bagaimanapun pihaknya percaya kejadian melibatkan seorang suspek namun motif pembunuhan masih dalam siasatan dan mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
0 comments:
Post a Comment