Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 29, 2017

[LIPIS] ROCKMELON BERI PULANGAN LUMAYAN


Rockmelon beri pulangan lumayan


Tanaman rockmelon boleh dikembangkan dan memberi keuntungan lumayan kepada petani kerana tanaman ini diusahakan sehingga empat pusingan setahun secara fertigasi.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, tanaman fertigasi rockmelon lebih cepat mengeluarkan hasil dan boleh dituai selepas 75 hari daripada tarikh ditanam.

Menurutnya, pengusaha boleh menjana pendapatan mencecah ribuan ringgit bergantung kepada keluasan tanah selain peratus risiko kerosakan yang rendah iaitu hanya sekitar dua hingga tiga peratus sahaja.

“Buah rockmelon amat mudah untuk ditanam dan berpotensi menjana keuntungan.

"Namun, pengusaha tanaman perlu memberikan komitmen tinggi sekiranya ingin berjaya.

“Pejabat Pertanian sentiasa memberi sokongan terhadap usaha penduduk yang berminat menceburi bidang pertanian ini dengan menyediakan pembelian input pertanian termasuk benih, baja, isi meter, tangki air dan sebagainya,” katanya sempena Majlis Perasmian Projek Tanaman Fertigasi Koperasi Relong Berhad di Kampung Relong di sini, semalam.

Hadir sama Adun Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Kampung Relong, Ishak Mohamed.

Abdul Rahman yang juga Ketua Umno Bahagian Lipis berkata, adalah diharapkan agar lebih ramai usahawan tani atau agropreneur dapat dilahirkan dari daerah ini bagi mengusahakan tanaman rockmelon dengan skala lebih besar.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga diharap dapat menyediakan lebih banyak lot tanah untuk projek terbabit bagi memudahkan pemantauan dan peruntukan dari agensi terlibat dapat disalur dengan segera.

“Di daerah ini terdapat beberapa kampung sedang giat mengusahakan tanaman rockmelon termasuk Kuala Medang, Merapoh, Salang, Kechau Tui, Daling, Berchang, Relong, Lalang, Penjom dan Bapong. Justeru, kita berharap agar penduduk dapat menjadikan bidang pertanian sebagai pekerjaan kedua kerana buah rockmelon kini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat,” katanya.


0 comments:

share2