Selepas suami tidak berupaya bekerja akibat penyakit kencing manis kronik, tiga beranak di sini hilang sumber pendapatan bagi menyara kehidupan mereka.
Rashidah Mat Yusof, 38, berkata, suaminya, Ahmad Zanavi Mohamad, 45, kini tidak boleh bekerja kerana mengalami masalah penglihatan kerana kencing manis kronik dihidapi sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, dia terpaksa bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM400 sebulan bagi menyara keluarga.
“Dengan pendapatan sebanyak itu pada masa sekarang memang tak cukup. Sewa bilik sahaja sudah RM250, belum lagi untuk belanja keperluan harian termasuk untuk persekolahan anak tunggal, Nor Azliana Balqis, 10.
“Buat masa ini, ada juga pihak yang prihatin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kami,” katanya kepada program Ziarah Kasih Pemuda Umno Kuantan di Jalan Darat Makbar, di sini.
Rashidah berkata, dia masih menunggu jawapan Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung permohonan bantuan bulanan dipohon bulan lalu untuk suaminya yang terlantar sakit.
Katanya, dia sangat berharap bantuan tersebut diluluskan untuk memenuhi keperluan suaminya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kuantan, Nara Nikman Nordin berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib keluarga tersebut.
Katanya, pihaknya berharap JKM dapat meluluskan bantuan bulanan untuk Ahmad Zanawi secepat mungkin.
Sumbangan keperluan harian diberikan bagi meringankan beban keluarga itu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank Ahmad Zanavi, 156094269216.
0 comments:
Post a Comment