Kuala Terengganu – Meminta restu dan mohon maaf daripada ibu bapa hampir setiap hari adalah rutin seorang pelajar cemerlang yang memperoleh 11A+ di dalam SPM yang diumumkan semalam.
Pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kemaman, Husna Mardhiyyah Mohd Fauzi , berkata, dia akan menelefon kedua ibu bapanya yang tinggal di Sungai Petani, Kedah, setiap hari untuk melakukan perkara itu supaya apa yang dilakukannya sepanjang hari itu mendapat restu daripada orang tuanya.
Menurut Husna, mungkin itu merupakan salah satu amalan rutin yang menjadikan dia pelajar cemerlang dalam SPM kali ini.
“Ketika percubaan, saya hanya peroleh 7A+ dan keputusan hari ini (semalam) memang tidak dijangka.
“Syukur kepada ALLAH SWT kerana makbulkan doa saya. Apa yang penting kita perlu bergantung kepada-NYA juga, belajar macam mana sekalipun, kalau tak yakin dengan ALLAH SWT, tak akan dapat kejayaan seperti diimpikan,” katanya selepas keputusan SPM diumumkan di sini, semalam.
Selain meminta restu dan mohon maaf, Husna berkata, dia juga melakukan puasa sunat, membaca dan menghafaz al-Quran dan menjaga adab dengan ALLAH SWT dan juga manusia seperti dituntut Islam.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, biarpun berjumpa dengan ibu, Dahliana Mohd Dagang, 46, yang bekerja sebagai seorang guru, serta ayah, Mohd Fauzi Ibrahim, 49, bekerja sendiri, hanya sebulan sekali, dia tidak tertekan kerana sering berbual melalui telefon.
Memasang cita-cita menjadi pensyarah dalam bidang Sains Islam, Husna berkata, dia hanya beri tumpuan sepenuhnya di dalam kelas ketika guru mengajar dan gunakan masa selang di antara subjek untuk memahami topik yang tidak difahaminya dengan baik.
0 comments:
Post a Comment