Sebanyak 180 spesies burung ditemui sekumpulan 271 peserta program Taman Negara Bird Count 2017 yang bermula Jumaat lalu dan berakhir semalam.
Ini sekali gus menunjukkan peningkatan jumlah spesies burung yang ada di Taman Negara Kuala Tahan pada tahun lalu menerusi program sama iaitu 146 jenis burung dicatatkan.
Perkara itu diumumkan Ahli Parlimen, Datuk Ahmad Nazlan Idris ketika merasmikan majlis penutup program tersebut di Dataran Kuala Tahan, semalam.
Majlis turut dihadiri Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Idros Yahya dan wakil dari pelbagai agensi yang terlibat menjayakan program itu.
Ahmad Nazlan berkata, dengan peningkatan jumlah spesies burung di Taman Negara itu sekali gus boleh dijadikan sebagai daya tarikan kepada peningkatan jumlah pelancong untuk mengunjungi dan menginap di Taman Negara Kuala Tahan yang merupakan aset utama daerah ini.
”Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan program ini. Saya harap bukan sahaja 271 peserta terlibat sahaja, malah penduduk setempat juga turut sama menjaga bilangan spesies burung ini agar ia tidak berkurangan di masa akan datang,” katanya.
Beliau turut memuji tindakan pihak jawatankuasa yang terlibat menganjurkan program tahunan dan tahun ini merupakan kali keempat program seumpama itu dianjurkan.
“Ia merupakan satu usaha yang sangat baik dan perlu mendapat sokongan dari semua pihak khususnya pemimpin dan masyarakat Taman Negara Kuala tahan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya program tersebut di perhebatkan lagi pada tahun hadapan sehingga ke peringkat antarabangsa, selain turut bercadang agar program itu dilakukan dalam bentuk pertandingan.
“Kita harap program seumpama ini dapat ditingkatkan dan diperbesarkan ke peringkat antarabangsa supaya dapat menambahkan lagi pengiklanan Taman Negara Kuala Tahan ini ke serata dunia,” katanya.
Sebelum itu, Idros dalam ucapannya berkata, sempena tahun melawat Pahang tahun ini, pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Motac) dan Tourism Pahang telah memasukkan program Taman Negara Bird Count 2017 ke dalam kalendar pelancongan ke seluruh dunia.
0 comments:
Post a Comment