Kuala Pilah - Seorang pesara tentera di Kampung Gamin Hilir, Seri Menanti, di sini, terpaksa menanggung rugi apabila lima kambing biri-biri diternaknya, mati dipercayai angkara harimau kumbang.
Aris Adam, 80, berkata, dia menyedari kejadian itu, 15 Mac lalu ketika hendak melepaskan haiwan ternakan itu di belakang rumahnya kira-kira jam 10 pagi.
"Memang rutin harian saya melepaskan kambing untuk meragut rumput di kebun getah yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah.
"Tiba-tiba, saya sedar bilangan kambing semakin merosot sebelum menjumpai seekor sudah mati. Saya nampak kambing induk cedera teruk di leher dan berlubang.
“Tak cukup dengan itu, selang sehari tiga ekor lagi termasuk dua ekor anak kambing biri-biri mati dan terdapat kesan kecederaan sama," katanya.
Pada hari kejadian itu, katanya, dia tidak sangka biri-biri berkenaan mati disebabkan harimau, tetapi setelah berfikir berulang kali, barulah dia percaya kemungkinan akibat harimau.
"Ini kerana lihat kesan gigitan dan kesan lubang pada leher kambing,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di ladang ternakannya, semalam.
Aris yang baru setahun menternak biri-biri berkata, dia kerugian lebih RM3,000 dan membuat laporan di Balai Polis Seri Menanti, dua hari selepas kejadian.
“Saya juga hubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan pada hari sama. Perhilitan pasang perangkap berhampiran kandang kambing," katanya
Aris berkata, dia sedih kerana anak-anak kambing berusia sebulan dan dua bulan mati dibaham dan dibawa lari.
“Kejadian ini dipercayai berlaku antara jam 1 pagi hingga 5 pagi dan serangan itu berlaku dalam kandang,” katanya.
Dalam kejadian itu juga, katanya, dua kambing dewasa dibunuh dan bahagian organ dalam dimakan, manakala bangkainya ditinggalkan. Manakala tiga ekor anak biri-biri dibunuh dan bangkainya dibawa lari.
“Dulu di sini anjing liar selalu masuk ladang getah dan serang kambing. Namun, setelah saya pasang pagar zink, anjing tiada lagi.
“Tetapi sejak kebelakangan ini, harimau pula jadikan kambing sebagai sasaran,” katanya yang kini masih mempunyai dua ekor kambing biri-biri yang masih hidup.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, Jabatan Perhilitan sudah memasang perangkap, bertindak di atas aduan tersebut.
"Kita turut memberi nasihat kepada pengadu dan akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa terutama berkaitan aspek keselamatan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment