Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 20, 2017

10 PELAJAR CEMERLANG TERUJA BELAYAR ATAS KAPAL MEWAH


10 Pelajar Cemerlang Teruja Belayar Atas Kapal Mewah


Georgetown – Sepuluh pelajar cemerlang dari seluruh negara hari ini berkongsi keterujaan berpeluang belayar di atas kapal pesiaran mewah, Star Cruises SuperStar Libra.

Mereka yang juga daripada keluarga kurang berkemampuan menyifatkan pelayaran dua hari satu malam menyelusuri laut di Pulau Pinang itu sebagai satu pengalaman berharga yang mendorong mereka untuk terus mencipta kejayaan dalam akademik.

“Saya tidak pernah bermimpi untuk naik kapal mewah kerana keluarga saya bukan orang senang dan ayah hanya penjual roti canai. Alhamdulilah, saya diberi peluang untuk mengikuti percutian mewah ini,” kata Mohd Saiful Ezwan Abdullah, 19, kepada Bernama hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong, Kelantan itu juga merupakan golongan kelainan upaya.

Bagi Nur Syahira Zaid, 17 yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsan Jalan Reko, Kajang, Selangor, pelayaran itu adalah satu dorongan untuknya belajar dengan lebih bersungguh bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.

“Saya harap program seperti ini dapat diteruskan pada masa depan bagi memberi dorongan kepada pelajar lain pula,” katanya.

Anak yatim, Mohd Shahfizan Mohd Jiwa, 18 dari Sungai Petani, Kedah, pula berkata dia tidak akan melupakan pengalaman itu.

Sementara itu, Pengurus Besar ZSM Mabrur Travel and Tour Sdn. Bhd., Marlina Ramly berkata program tersebut merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikatnya.

“Kami merancang untuk menjalankan beberapa lagi program seperti ini bagi memberi lebih banyak peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan disamping pengisian motivasi untuk berjaya,” katanya.


0 comments:

share2