Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 23, 2017

SEKOLAH PERLU LAHIRKAN PELAJAR MILIKI DAYA JUANG


Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail


Kangar - Sekolah perlu melengkapi pelajar mereka dengan aspek jati diri yang mampu menjadikan murid memiliki daya juang tinggi di dalam masyarakat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pelajar mesti dididik dengan nilai itu agar tidak mudah berputus asa meneruskan segala usaha dalam meningkatkan kualiti dan kecemerlangan untuk masa depan yang cerah.

"Terutamanya dalam bidang pendidikan. Murid-murid perlu bersedia dan mampu mendepani pelbagai cabaran seperti arus teknologi maklumat dan transformasi pendidikan semasa.

"Jika mereka berjaya berjuang ketika zaman persekolahan demi memantapkan lagi peranan dalam memajukan dunia pendidikan hari ini, maka mereka juga mampu berjuang di peringkat seterusnya yang serba mencabar," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika merasmikan Program Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ali Ahmad 2017 di sini, semalam.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua ke program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Perlis itu, disambut pengetua sekolah berkenaan Fauziah Abdul Hamid dan Setiausaha YTSP Perlis Datuk Johari Mohd Darus.

Baginda yang juga Pengerusi YTSP Perlis, mahu pelajar yang dilahirkan harus

mampu menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang relevan serta meluas agar menjadi modal insan yang mempunyai mentaliti kelas pertama.

"Gunakan segala peluang dan ruang di sekolah untuk mengembangkan potensi yang ada pada diri termasuk dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) untuk dimanfaatkan demi kemajuan negeri dan negara," titah baginda.

Bersempena lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan merasmikan Surau Al-Hidayah sekolah berkenaan yang disumbangkan YTSP Perlis.


0 comments:

share2