Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 5, 2017

SEKOLAH DIARAH SEDIAKAN PETI ADUAN DISIPLIN


Datuk Seri Mahdzir Khalid


Kuala Nerang - Pihak pengurusan sekolah menengah dan rendah di seluruh negara diarah menyediakan `Peti Aduan Disiplin Murid' khusus untuk membendung salah laku pelajar terutama dalam jenayah, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, dengan adanya peti aduan itu, pelajar boleh menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak sekolah yang kemudiannya dipanjangkan kepada polis.

"Aduan yang dibuat pelajar ini adalah rahsia... pelajar tidak perlu takut untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelajar yang terbabit dalam salah laku ini.

"Ia di bawah seliaan guru disiplin dan semua maklumat berkenaan akan disampaikan kepada anggota Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang ditugaskan di setiap sekolah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom Ke Sekolah peringkat Kebangsaan 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Ahmad di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff dan Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan.

Mahdzir berkata, tujuan utama program berkenaan adalah juga untuk mengatasi masalah ketidakhadiran pelajar ke sekolah yang dikenal pasti kerana adanya pelajar yang terpaksa bekerja dan juga yang terbabit dalam jenayah.

"Ini merupakan punca ketidakhadiran pelajar yang menyebabkan ada sesetengah sekolah mencatatkan peratusan kehadiran yang rendah," katanya.

Beliau berkata, purata peratus kehadiran pelajar di seluruh negara pada 2016 membabitkan pelajar sekolah rendah adalah 94.1 peratus manakala sekolah menengah 91.4 peratus.

"Peratus kehadiran di peringkat kebangsaan yang ditetapkan adalah 92.3 peratus dan ini yang menjadi tumpuan kementerian dan polis untuk mengatasinya," katanya.

Beliau merayu kepada ibu bapa dan juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru di setiap sekolah agar dapat memainkan peranan untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

"Kita khuatir ada pelajar yang ponteng ini terbabit jenayah yang berat dan boleh dihukum sekiranya masalah ponteng sekolah ini tidak diatasi," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Mahdzir yakin kerjasama pemuafakatan dengan Polis Diraja Malaysia, komuniti dan ibu bapa akhirnya akan menarik minat pelajar untuk ke sekolah.


0 comments:

share2