Lundu - Para pemilih dalam pilihan raya kecil Tanjong Datu diingatkan supaya menolak sepenuhnya pembangkang, yang akan memfitnah dan mencipta isu bagi memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata mereka berbuat demikian bagi menghasut orang ramai supaya tidak terus memberi sokongan kepada calon BN Datuk Amar Jamilah Anu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar sehari mengenai usahawan dan kepenggunaan anjuran kementeriannya yang dihadiri kira-kira 600 peserta di sini, hari ini.
Hamzah yakin para pengundi akan sedar tentang taktik pembangkang itu.
"Saya yakin, pada hari mengundi Sabtu ini, mereka akan memberi jumlah undi yang amat besar kepada Jamilah," katanya.
Jamilah, balu kepada penyandang kerusi DUN Tanjong Datu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, dicabar dua calon pembangkang pada pilihan raya kecil itu.
Adenan, ketua menteri Sarawak kelima, meninggal dunia pada 11 Jan akibat komplikasi jantung.
Sementara itu, mengenai isu berus cat, Hamzah berkata bagi beliau, perkara itu bukan merupakan suatu isu sebenarnya.
"Kami memberi tempoh sebulan kepada peniaga untuk melabelkan dengan sewajarnya jenis berus yang mereka jual, termasuk menyatakan secara khusus sama ada ia diperbuat daripada bahagian tubuh babi atau anjing," katanya.
Mengenai berus yang dirampas pula, beliau berkata, barangan itu akan dipulangkan kepada peniaga sekiranya ia mematuhi arahan yang ditetapkan.
0 comments:
Post a Comment