Ekoran pendapatan yang tidak seberapa hasil pekerjaan sebagai tukang proses ayam, seorang lelaki bersama isteri dan lapan anaknya terpaksa berteduh di rumah yang cukup usang di Kampung Feri, di sini.
Rumah yang dibina sendiri sejak 18 tahun lalu atas tanah yang masih dalam proses permohonan itu seolah-olah masih belum siap dengan keadaan dinding dan bumbung yang tidak sempurna.
Lebih menyedihkan, pasangan suami isteri bersama lapan anak berusia dua hingga 17 tahun itu terpaksa menggunakan perigi sebagai sumber air untuk mandi, memasak dan minum.
Terpaksa buat pinjaman
Muhammad Zaid Abdullah, 39, berkata, pendapatannya sebagai pekerja di pusat penyembelihan ayam di Bandar Kuala Rompin hanya RM35 sehari dan boleh mencecah RM900 sebulan sekiranya tidak cuti atau sakit.
Dia berkata, anaknya yang ramai dan kos sara hidup tinggi kini memang membebankan memandangkan perbelanjaan mereka sekeluarga tidak mencukupi sekiranya bergantung sepenuhnya dengan gaji diterima.
“Saya bekerja sebagai tukang proses ayam ni dah berbelas tahun, sebab gaji ikut hari jadi jika ada masa cuti atau tak datang sebab sakit, pendapatan bulanan akan berkurangan,” katanya.
Menurutnya, dia terpaksa membuat pinjaman dengan majikan untuk bina dua bilik di rumahnya untuk anak lelaki dan perempuan.
“Bayaran pinjaman itu ditolak dari gaji namun hingga kini belum selesai bayar,” katanya ketika ditemui, semalam.
Hanya mampu tawakal
Muhammad Zaid berkata, walau bagaimanapun melalui bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Rompin serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rompin sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung.
Katanya, dia kini masih tidak mampu untuk membaiki atau menyiapkan rumah untuk keselesaan keluarga.
Dia berkata, sebelum ini ada bantuan daripada individu tertentu diterimanya namun tetap tidak mencukupi menyiapkan rumah itu dengan sempurna.
“Sejak 18 tahun lalu saya buat rumah ni tapi masih belum siap sepenuhnya, setakat ini bekalan elektrik ada tapi air saja yang belum ada, jadi kami pakai air perigi, satu perigi untuk masak dan minum, satu lagi untuk mandi namun setakat ni kami
sekeluarga belum menghadapi masalah kesihatan.
“Tapi perigi ni akan kering bila musim panas jadi waktu itu saya terpaksa angkut air dari rumah saudara berhampiran,” katanya.
Ditanya mengenai keadaan rumah yang kurang selamat diduduki, beliau hanya mampu tawakal kepada ALLAH dan sentiasa menitik beratkan soal keselamatan anak-anaknya terutama pada waktu malam.
“Alhamdulillah setakat ini belum pernah terjadi perkara tidak diingini dan saya memang minta supaya dijauhkan agar kami sentiasa dalam keadaan selamat,” katanya.
Bantuan dalam proses
Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Muip Rompin, Muhammad Nabil Mohamad Fauzi yang ditemui berkata, masalah yang dihadapi keluarga Muhammad Zaid dalam perhatian pihaknya.
Beliau berkata, Muhammad Zaid telah memohon bantuan baik pulih rumah dan ia telah diluluskan serta dalam proses untuk dibaik pulih namun kontraktor binaan belum ditentukan.
“Keluarga ini turut diberikan bantuan bulanan sebanyak RM300 bagi meringankan beban mereka sekeluarga, kita pun sedang mengenal pasti bantuan yang sesuai bagi membantunya keluar daripada kelompok kemiskinan,” katanya kepada pemberita, di sini.
0 comments:
Post a Comment