Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, February 5, 2017

NELAYAN TIDAK SERIK DITAHAN BELI NOMBOR EKOR


Nelayan tidak serik ditahan beli nombor ekor


Kuala Terengganu - Seorang nelayan yang pernah dicekup tiga kali kerana bermain judi, sekali lagi ditangkap ketika asyik membeli nombor ekor di sebuah kedai di Jalan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, semalam.

Lelaki berusia 44 tahun yang sebelum ini pernah dikenakan denda RM2,700 Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, di sini, kerana berjudi ditahan dalam serbuan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, serbuan dilakukan selepas menerima maklumat dan hasil intipan pihaknya mengenai kegiatan di premis berkenaan yang menjadi port kaki judi beragama Islam di Kuala Ibai, di sini, bagi mendapatkan nombor ramalan.

Katanya, siasatan mendapati lelaki terbabit pernah ditahan sebelum ini ketika penguat kuasa syariah membuat serbuan di premis sama semasa bulan Ramadan pada 2015.

“Menurut rekod, lelaki terbabit yang didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Terengganu sebelum ini pernah dikenakan hukuman denda RM2,700 dan lelaki terbabit dilihat seolah-olah tidak serik apabila mengulangi kesalahan sama.

“Selain menahan lelaki itu, kita turut merampas wang tunai RM406 yang dipercayai untuk aktiviti perjudian dan lelaki terbabit dibawa ke pejabat JHEAT untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001,” katanya.


0 comments:

share2