Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 3, 2017

[LIPIS] TERHARU TERIMA FAEDAH PERKESO


Terharu terima faedah Perkeso


Balu mangsa kemalangan jalan raya yang maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja 16 Januari lalu terharu apabila menerima cek faedah pengurusan jenazah berjumlah RM1,500 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Selain itu, Norzizah Ismail, 53, yang merupakan balu kepada Allahyarham Che Soh Mamat, 66, turut layak menerima pencen seumur hidup.

Norzizah berkata, walaupun sedih kerana kehilangan suami tercinta namun dia reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

Menurutnya, arwah suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum terbabit dalam kemalangan malah kelihatan sihat dan ceria.

“Dah jadi rutin harian arwah suami makcik berulang alik tunggang motosikal dari rumah di Padang Tengku ke tempat kerja di Benta.

“Jadi bila dimaklumkan tentang kejadian kemalangan tu makcik sendiri terkejut tapi makcik reda dan terima ia sebagai takdir,” katanya ketika menerima kunjungan pihak Perkeso Bentong di sini, semalam.

Dalam kunjungan tersebut Norzizah menerima cek faedah pengurusan jenazah dan pencen seumur hidup daripada Pengurus Perkeso Bentong, Roziah Abd Wahid.

Hadir sama Pegawai Penyiasat Kes Perkeso Bentong Andi Momang Mohamad dan majikan arwah suaminya, Chee Seng Huat.

Dalam kejadian 16 Januari lalu, Che Soh maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh bahagian belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

Kejadian yang berlaku di kilometer 10 Jalan Lipis-Merapoh berhampiran Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) Lipis itu telah menyebabkan Che Soh meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Sementara itu, Roziah berkata, bayaran faedah pengurusan jenazah dan pencen seumur hidup itu diberikan kepada balu mangsa memandangkan arwah merupakan pencarum Perkeso serta meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Bayaran pencen ini diharap dapat meringankan beban kewangan balu mangsa agar dapat meneruskan kehidupan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang pernah menjadi pencarum Perkeso dan kemudiannya berhenti kerja atau waris kepada pencarum yang meninggal dunia masih mempunyai hak untuk menuntut faedah daripada pertubuhan berkenaan, namun harus mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

“Masih ramai pencarum mahupun waris tak tahu tentang perkara ini kerana menyangka selepas berhenti kerja, mereka sudah tidak mempunyai hak untuk menuntut faedah daripada Perkeso.

“Justeru, kita berharap kes ini dapat beri lebih pemahaman kepada orang ramai mengenai hak mereka sebagai pencarum,” katanya.


0 comments:

share2