Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 20, 2017

[KUANTAN] TIGA SEKELUARGA NYARIS MAUT


Tiga sekeluarga nyaris maut


Seorang penyelia nyaris maut apabila kereta dipandunya dihempap pokok tumbang ketika melalui sebuah restoran makanan segera di Teluk Chempedak, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, Mohammad Amirul Mohd Sabri, 23, dan dua ahli keluarganya, Nurul Idayu Nasarudin, 27, dan Nor Amy Suhada Mohd Sabri, 18, terselamat walaupun kereta jenis Proton Perdana dinaiki mereka remuk teruk dihempap pokok kelat jambu laut sebesar pemeluk berkenaan.

Kejadian itu turut merosakkan dua kereta jenis Proton Wira dan Proton Preve milik orang awam yang diletakkan di tempat letak kereta Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Mohammad Amirul berkata, dia singgah di restoran makanan segera itu untuk membeli makanan melalui kaunter pandu lalu.

“Tiba-tiba saya nampak pokok itu tumbang dan terus menghempap kereta...Saya hanya mampu melaung takbir Allahuakbar dan mengucap beberapa kali.

“Saya terbayang nyawa kami akan melayang sekiranya pokok itu jatuh tepat mengenai bahagian tengah kenderaan namun mujur ia mengenai bahagian tepi,” katanya.

Susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam

Situasi itu difahamkan turut mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai apabila masing-masing sibuk mengalihkan kenderaan kerana bimbang turut dihempap pokok yang sudah tua di kawasan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, mangsa akan diminta merujuk kepada MPK untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Dua dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Alif Afizul Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan pada kira-kira jam 5.19 petang.

Menurutnya, sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota bergegas ke lokasi.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi itu semalam mendapati, rata-rata pengunjung mahu pihak berkuasa melakukan pemantauan berkala ke atas pokok-pokok yang ada di lokasi terbabit.

Pesara, Mohd Suhud Osman, 55, dari Permatang Badak di sini berkata, dia berharap pihak berkaitan peka dengan persekitaran khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.



0 comments:

share2